Pakar Sakit Puan
Soalan
Saya berumur 25 tahun dan mengalami buasir luar selama beberapa tahun. Saya tidak pernah menjalani apa-apa rawatan untuk menyembuhkannya kerana saya malu untuk merujuk kepada doktor. Saya cuma mengambil ubat untuk disapu pada bahagian berkenaan tetapi masih tiada apa-apa perubahan. Saya sudah mendirikan rumahtangga pada Januari lalu dan hingga kini masih belum hamil.
Adakah apabila saya hamil kelak, penyakit ini akan membahayakan kesihatan saya dan bayi?
Apakah tindakan yang perlu saya lakukan sekarang?
Jawapan
BUASIR adalah penyakit masalah berkaitan keanjalan salur darah vena. Ia sama dengan keadaan urat timbul pada bahagian betis. Ia tiada kaitan dengan kesukaran seseorang untuk hamil.
Bagaimanapun, tekanan kandungan yang semakin membesar sewaktu kehamilan boleh menjadikan buasir bertambah teruk.
Anda boleh menambah pengambilan air dan serat dalam pemakanan.
Terdapat juga pil suplemen yang mengandungi bahan flavonoid yang dapat membantu meningkatkan keanjalan salur darah vena, cecair ‘pelembut najis’ untuk memudahkan membuang air besar, salap sapuan pada buasir untuk meredakan ketidakselesaan (bukannya mengubati buasir) dan seumpamanya.
Ada juga buasir yang boleh ‘ditolak’ kembali ke dalam dubur menggunakan jari, ini dapat mengurangkan rasa tidak selesa apabila buasir bersentuhan sewaktu seseorang duduk.
Buasir juga boleh dibuang melalui prosedur pembedahan kecil, lebih-lebih lagi jika ia menyebabkan kesakitan.
Anda hendaklah mengurangkan aktiviti atau perkara yang boleh menambah tekanan intra-abdomen seperti batuk berpanjangan, masalah sembelit dan mengangkat benda berat.
Sumber : Doktor Adilah Ahmat
Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan dan Rawatan Kesuburan/IVF, Hospital
Pantai Bangsar dan Hospital Pusrawi Jalan Tun Razak Kuala Lumpur.
Dari meja pengarang : dalamcantik.com
Anda boleh menghantar soalan atau cadangan topik ke email dalamcantik@gmail.com (maklumat anda akan dirahsiakan).