Sunday, 2 June 2013

Sultan Pahang Kesal Kenyataan Khairy

0 comments



Sultan Pahang Kesal Dengan Kenyataan Khairy

Sultan Ahmad Shah kecewa dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mempertikai keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi hak tuan rumah kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) bagi perlawanan tertunda separuh akhir kedua Piala FA. 

Sebagai Presiden FAM, saya kecewa dengan kenyataannya itu. Ia tidak sepatutnya dibuat oleh orang yang bertanggungjawab dan individu yang bijak pandai seperti beliau. Untuk mengatakan FAM bersikap pilih kasih, saya tak bersetuju dengan kenyataannya itu, katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat keselamatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di sini, semalam. 

Beliau berkata, semua keputusan termasuk memberi hak tuan rumah kepada PBNP dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, bukan beliau sebagai presiden. Mungkin kerana saya Sultan Pahang, ia dikatakan tidak adil. Umpama pepatah, ditelan pahit dibuang sayang. Saya tiada kuasa, Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM yang buat semua keputusan ini, katanya. 

Beliau berkata, jika keputusan itu dibuat mengikut kemahuannya atau PBNP, sudah tentu perlawanan semula separuh akhir kedua Piala FA diadakan di Kuantan, bukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Tapi disebabkan berlaku kejadian tidak diingini, Selasa lalu, saya terus arahkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM supaya mengkaji dan meneliti perkara ini untuk diadakan perlawanan semula secepat mungkin. 

Selepas mereka bermesyuarat, perlawanan tertunda separuh akhir kedua Piala FA itu diadakan di gelanggang berkecuali, katanya. 

Kelmarin, Khairy mempertikai keputusan FAM memberi hak tuan rumah kepada PBNP bagi perlawanan tertunda separuh akhir Piala FA kerana persatuan itu gagal menjamin keselamatan pada perlawanan seharusnya diadakan di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu membabitkan Pahang menentang Johor Darul Takzim (DT). 

Beliau berkata, Pahang juga tidak layak mendapat hasil kutipan jualan tiket lebih daripada kapasiti stadium sendiri kerana mereka dikenakan tindakan denda tapi FAM memberi keuntungan lebih kepada PBNP. Sementara itu, Sultan Ahmad Shah berkata beliau masih belum membuat keputusan siapa bakal dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM yang baru menggantikan Datuk Azzuddin Ahmad yang sepatutnya mula mengisi kerusi Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), semalam. 

Saya belum buat keputusan lagi. Sebagai Presiden AFF, saya mahu orang Malaysia jadi Setiausaha Agung AFF, sebab kita nak buat ibu pejabat di Putrajaya. Jadi saya akan putuskan siapa pengganti Azzuddin di FAM dalam masa terdekat ini, katanya. 


Sumber : BeritaHarian





Leave a Reply

Labels