Friday, 4 November 2011
Melatih Anak Jalani Gaya Hidup Sihat
Pepatah ada menyebut, “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mencorak gaya hidup anak-anak mereka kelak. Mereka harus ingat, mendidik anak ini konsepnya samalah seperti menanam pokok. Jika pandai mereka menjaga pokok tersebut sehingga besar, maka mereka juga yang akan mendapat tempias untungnya. Ini kerana pokok yang subur dan rendang pastinya menjamin hasil (buah) yang lumayan.
Apa yang mereka beri kepada anak mereka, itulah yang akan mereka akan lihat suatu hari nanti. Jika mereka memanjakan anak-anak mereka dengan makanan yang manis-manis, maka tidak mustahil anak mereka akan kelihatan gemuk ketika remaja. Jika mereka rajin membekalkan anak-anak mereka dengan sumber kalsium seperti keju dan susu, tidak mustahil anak mereka akan kelihatan tinggi ketika remaja. Pendek kata, semuanya terletak di tangan anda: ibu bapa!
Berikut merupakan tip-tip yang boleh diaplikasikan ketika mendidik anak-anak supaya mereka terdidik menjadi insan yang peka dengan gaya hidup sihat suatu hari nanti.
1) Sediakan makanan yang seimbang
Anda sebagai ibubapa sendiri kena tahu di mana terletaknya sumber protein (ikan, telur, ayam, tauhu), sumber utama karbohidrat (nasi), sumber alkaline (sayur-sayuran), dan sumber lemak (kebanyakkannya sudah terdapat dalam makanan tersebut).
2) Hiasi makanan supaya kelihatan ‘menggairahkan’
Jika boleh susunlah sayur-sayur secara kreatif bersama-sama hidangan lain supaya kelihatan menarik di mata anak-anak.
3) Jangan sesekali menengking anak dengan menyuruhnya makan dengan pantas
Biarlah si anak mengunyah makanan dengan perlahan, kerana makan secara perlahan ini akan memastikan makanan yang dimakan itu benar-benar hancur, sekaligus melancarkan lagi proses penghadaman.
4) Jangan sesekali menyekat si anak bermain
Berilah peluang kepada si anak untuk bermain, kerana dengan cara itu saja si anak akan terdedah dengan gaya hidup yang aktif, sekaligus mempertingkatkan lagi kecerdasan otak.
5) Sediakan peraturan supaya anak tidak terlalu dimanjakan dengan makanan
Sebagai contoh "Jajan dan aiskrim hanya boleh dinikmati ketika hujung minggu sahaja, kalau mamam hari-hari lain nanti abah bagi penampar ".
6) Kurangkan/berhenti membeli makanan lemah khasiat
Pastikan kabinet di dapur tidak terisi dengan makanan seperti mee segera, keropok-keropok,air-air manis dan seangkatan dengannya.
7) Belikan mereka buku-buku berkenaan kesihatan
Dewasa ini, buku-buku bercorak kesihatan untuk kanak-kanak sudah banyak dijual di kedai-kedai buku. Sebagai contoh, buku bergambar yang menerangkan rupa anatomi manusia (ada nama-nama otot), nama-nama sayur-sayuran, dan sebagainya.
8) Jadilah ‘role model’ yang berjaya
Janganlah anda sibuk menyuruh si anak mengikut tip-tip di atas, tetapi hakikatnya anda sendiri gagal mengamalkan gaya hidup yang sihat.
9) Tunjukkan tanda sokongan kepada anak anda
Sekiranya si anak sedari kecil lagi sudah berbadan gempal, janganlah anda kerap membeli KFC, meskipun anda ini penggemar KFC. Beralah sedikit. Nanti kasihan pula si anak itu terpaksa menelan air liur melihatkan si ayah makan KFC.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)