Friday, 11 November 2011

Rahsia Tingkatkan Penghasilan Susu Ibu

0 comments


Seperti yang umum sedia maklum, payudara perlu mendapat lebih banyak rangsangan daripada bayi bagi meningkatkan penghasilan susu. Selanjutnya, anda perlu melakukan beberapa perkara penting lain dalam usaha membuahkan hasil seperti yang diimpikan.


1. Kerapkan Menyusu
 
Susukan bayi sekurang-kurangnya setiap 3 jam pada siang hari. Jika bayi tidur lebih daripada 3 jam, kejutkan dia untuk menyusu. Pada waktu malam pula, kejutkan bayi untuk menyusu tambahan terutamanya jika dia tidur lebih daripada 4 - 5 jam.


2. Jangan tunggu payudara penuh
 
Ada sesetengah wanita suka menjadikan payudara penuh sebagai petunjuk bahawa bayinya perlu disusukan. Itu salah! Yakinlah bahawa payudara sentiasa mengandungi susu dan apabila bayi disusukan, ia akan bekerja keras untuk menghasilkan lebih banyak susu. Kajian menunjukkan bahawa tahap lemak dalam susu adalah lebih tinggi apabila tempoh antara satu penyusuan dengan yang lain adalah singkat. Ini bererti, jika anda menyusukan bayi beberapa minit selepas selesai menyusukan bayi (ketika anda beranggapan payudara “kosong”), dia akan memperoleh susu tinggi kandungan lemak yang dapat membantunya menambah berat badan.


3. Menyusu Lebih Lama
 
Jangan hadkan masa setiap kali menyusukan bayi di sebelah payudara. Biarkan dia menyusu sebelah bahagian sehingga puas sebelum menawarkannya menyusu di bahagian payudara yang lain. Ini akan memberinya peluang untuk mendapatkan susu berlemak tinggi (hindmilk). Jika anda terlalu cepat menawarkan payu dara sebelah lagi, dia hanya mendapat foremilk, di mana hanya perutnya sahaja penuh tetapi tidak memberi kalori mencukupi untuk tumbesarannya.


4. Penyusuan Dua kali
 
Selepas anda menyusukan bayi, sendawakan dia. Langkah ini menjurus ruang di dalam perutnya untuk memuatkan lebih banyak susu. Kemudian, susukan dia semula. Cara ini turut merangsang payu dara untuk menghasilkan lebih banyak susu.


5. Bogelkan Bayi
 
Sewaktu menyusu, bogelkan bayi (kecuali lampinnya). Sentuhan kulit ke kulit membantu bayi kekal sedar daripada lena. Untuk memaksimumkan sentuhan kulit, buka coli dan pakai baju yang mempunyai butang di bahagian depan. Bagi mengelakkan bayi kesejukan pula, selimutkan dia ketika menyusu.


6. Penyusuan Malam
 
Amalan menyusukan bayi di waktu malam sangat bagus kerana ia merangsang peningkatan susu. Ini kerana di waktu malam, anda berdua lebih rileks lalu membolehkan bayi menyusu lebih lama dan kerap. Penyusuan malam turut merangsang hormon prolaktin yang memainkan peranannya menghasilkan lebih banyak susu.


7. Penyusuan Baby Sling
 
Bayi memang suka jika berada dekat dengan anda. Secara tidak langsung, ia boleh merangsang dia untuk kerap menyusu. Jadi, gunakan baby sling di antara waktu penyusuan walaupun ketika itu dia sedang tidur. Pasti anda terkejut apabila mendapati dengan cara ini dia menyusu dengan lebih baik.


8. Fikir Bayi, Fikir Susu
 
Ketika menyusu, belailah bayi. Amalan ini dikenali sebagai grooming. Langkah ini tanpa disedari merangsang penghasilan susu. Antara lain, di antara waktu penyusuan dan sejurus sebelum sesi penyusuan bayangkan bayi sedang menyusu di payudara anda. Cara ini, akan merangsang payudara untuk mengeluarkan lebih banyak susu.


9. Urutan
 
Teknik urutan payudara yang betul akan membantu susu mengalir dengan lancar. Apatah lagi sewaktu anda mengalami bengkak susu ataupun sakit puting. Untuk itu, anda perlu menuam payudara dengan tuala yang telah direndam di dalam sir suam.


10. Minum Air
 
Pastikan anda minum banyak air sepanjang tempoh penyusuan mahupun pemerahan susu. Anda digalakkan minum 3.1 liter air iaitu kira-kira 13 cawan setiap hari.





Leave a Reply

Labels