Sunday 6 May 2012
Rezeki Katharine McPhee
ADAPTASI karakter bintang legenda Hollywood, mendiang Marilyn Monroe
dalam drama muzikal Smash memberikan kilauan yang bukan sedikit kepada
naib juara American Idol musim kelima, Katharine McPhee.
Pernah mencuba nasib sebagai penyanyi R&B dalam album berjudul
Katharine McPhee serta irama country dalam Unbroken sebelum hampir putus
asa dalam bidang hiburan, tetapi dengan watak utama dalam Smash,
Katharine masuk semula dalam liga juara-juara jenama American Idol. Dia
seperti dilahirkan semula bahkan semakin menyinar serta menenggelamkan
juara lain seperti Jennifer Hudson, Adam Lambert dan Chris Daughtry.
Dalam naskhah terbitan salah seorang produser tersohor Steven
Spielberg itu, Katharine melakonkan watak Karen Cartwright, seorang
wanita bercita-cita tinggi dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan
dalam dunia pementasan teater muzikal. Bersatu dengan seorang lagi
pelakon berpengalaman, Ivy Lynn lakonan Megan Hilty dan Rebecca Duvall
(Uma Thurman), ketiga-tiga wanita itu memberi impak pesona dan sensasi
kepada penonton Smash.
Menyanyi, menari dan mencuri sedikit aura Marilyn dalam Smash serta
album baharu yang laju di atas trek pembikinan, Katharine mengakui
bahawa dia sebenarnya terkenangkan mendiang Whitney Houston yang
meninggal dunia pada Februari lalu.
“Whitney selalu menjadi inspirasi dalam hidup saya. Tidak akan ada
penyanyi yang boleh menyampaikan lagu-lagu Whitney sehebat beliau,”
katanya yang mengharap peluang menyanyikan lagu-lagu Whitney dalam siri
Smash akan datang.
Seperti juga siri Glee, pelakon-pelakon Smash juga akan menyanyikan
lagu-lagu popular yang pernah dinyanyikan penghibur terkemuka. Menjadi
Karen, Katharine turut berpeluang membawakan lagu-lagu penyanyi Adele
seperti Rumour Has It dan Florence + The Machine’s Shake It Out serta
Beautiful nyanyian asal Christina Aguilera.
“Itu satu pengalaman yang sungguh menyeronokkan. Sebenarnya, sejak
lima tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa di studio rakaman. Itu
sebahagian daripada tugas yang saya gemar. Rakaman itu berbaloi dan
menyeronokkan,” katanya yang berbesar hati kerana diberi penghormatan
menyanyikan semula lagu-lagu popular penyanyi lain.
Menyingkap latar hidupnya sendiri, pelakon serta penyanyi kelahiran
Los Angeles ini merupakan anak kepada pasangan penerbit televisyen
serta penyanyi kelab malam.
Bercerita tentang idolanya, Katharine menamakan Mariah Carey sebagai penyanyi pertama yang menjana inspirasi kepadanya.
“Saya dengar lagu-lagu Mariah semasa kecil dan asyik memutarkan kaset Mariah sepanjang masa,” katanya.
Katharine mendakwa dia bukan pelajar yang pintar dan pernah
diklasifikasikan sebagai pelajar bermasalah hanya kerana tiada
cita-cita.
“Saya selalu mahu kelihatan cantik tapi sebenarnya kurang cerdik.
Setiap hari, ayah akan menghantar saya ke sekolah tapi tiada seorang pun
yang dapat memahami sikap saya. Saya cuma mahu berada di sekolah, itu
sahaja,” ujar Katharine.
“Saya juga bukan jenis wanita yang gemar memakai gaun. Selalunya,
saya akan pakai baju yang kelihatan santai dan sedikit longgar. Ia
memudahkan pergerakan saya dan makan apa sahaja!” katanya.
-kosmo
Subscribe to:
Post Comments (Atom)