Friday, 18 May 2012
SCIROCCO R BERKUASA 255PS
RANGKAIAN model hothatch Volkswagen sedia ada kini diperluaskan lagi
menerusi pengenalan Scirocco R. Ia merupakan varian paling berkuasa.
Prestasi jentera dua pintu itu pernah dipamerkan menerusi siri
perlumbaan Piala Scirocco R di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun
lalu.
Huruf 'R' membawa maksud jentera moden dengan pemanduan dinamik,
berkuasa, rekaan menarik dan menawan. Scirocco R turut mewarisi DNA
perlumbaan dan menawarkan pengalaman pemanduan menyeronokkan di atas
jalan raya biasa.
Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia (VGM), Ricky Tay berkata,
model Golf R dan Passat CC R-Line mewakili segmen pasaran berbeza dan
kelompok sasaran pelanggan tersendiri.
Hothatch itu dilengkapi enjin turbo empat silinder TSI dengan sistem
suntikan terus bahan api. Ia menggunakan petrol sebanyak lapan liter
untuk setiap 100 kilometer (km). Kadar emisi karbon pula hanyalah 187
gram bagi setiap km.
"Secara tepatnya, Scirocco R 2.0L mampu meledakkan kuasa maksimum
sehingga 255PS @ 6,000rpm. Tork maksimum pula mampu mencecah 330Nm
antara 2,400rpm hingga 5,200rpm," kata Ricky.
Kelajuan maksimum jentera itu adalah 250 km sejam. Bagi pecutan 0km
hingga 100km, ia cuma mengambil masa enam saat sahaja. Bagi mengimbangi
kestabilan dan mengurangkan kehilangan cengkaman di atas jalan,
teknologi electronic differential lock (EDS) telah diintegrasi bersama
sistem ESP.
Scirocco R yang dilengkapi rim aloi 19 inci turut diberikan Adaptive
Chassis Control (DCC) sebagai ciri standard. Bampar hadapannya
mengandungi tiga ruang penyaluran udara. Dua set lampu DRL (daytime
running lights) LED dipasang pada bahagian kiri dan kanan bampar. Lampu
utama adalah jenis bi-xenon.
Bahagian belakang didominasi oleh bumbung besar yang dilengkapi
spoiler. Peresap (air diffuser) berwarna hitam di bahagian bawah bampar
belakang mempamerkan rekaan model R. Perumah lampu belakang juga
dihitamkan sedikit agar nampak lebih sporty.
Cermin sisi turut diwarnakan hitam. Ruang kabin ditonjolkan dengan
pemasangan tempat duduk motorsport bucket. Tidak terkecuali, bumbung
panaromik.
Antara peralatan standard yang dipasang pada Scirocco R ialah
pengawal suhu dua zon, kemasukan tanpa kunci, sistem navigasi satelit
RNS 510, pemain cakera padat dan MP3, hab USB serta AUX-IN.
Didatangkan dengan enam warna pilihan iaitu putih, hijau, biru,
perak, kelabu dan hitam, ia ditawarkan pada harga RM279,888 seunit.
Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web www.volkswagen.com.my
atau www.r-series.my.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)