Sunday, 17 June 2012

Mendidik Anak Kecil Mengenal Buah

0 comments


Jika ingin melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mungkin peribahasa ini sering digunakan oleh para pendidik dan para pelajar di sekolah. Namun, berapa ramaikah generasi muda hari ini yang mengenali rebung? Benarlah kata peribahasa ini, jika hendak mendidik seseorang hendaklah ketika dia masih kecil supaya mudah diasuh. Jika menunggu sehingga dewasa sudah tentu ianya lebih sukar mendidiknya. Sama jugalah seperti buluh, apabila sudah matang, batangnya sudah keras dan pasti tidak dapat dilentur lagi.

Bagi menggalakkan anak kecil mencintai alam, segalanya perlu bermula dari rumah. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak, mengenali terlebih dahulu alam semulajadi sekeliling kita. Apatah lagi pokok-pokok atau tumbuhan yang biasanya digunakan di dapur atau dalam masakan. Jangan terkejut sekiranya melihat anak-anak remaja kita tidak mengenali sayur-sayuran yang biasa dimakan di rumah seperti sawi, bayam, petola, kucai dan sebagainya. Apatah lagi mengenali bahan-bahan yang digunakan dalam masakan seperti daun kunyit, daun kari, daun kesum, daun sup, serai, limau kasturi dan lain-lain lagi. Jadi tidak hairanlah ada yang tidak tahu membezakan antara kunyit dan halia, limau kasturi dan limau nipis, dan pelbagai lagi jenis rempah ratus yang bermacam-macam rupa.

Selain itu, tumbuhan seperti ulam-ulaman jarang sekali digemari oleh generasi muda terutama pelajar sekolah. Malah mereka juga tidak mengenalinya langsung ulam seperti pucuk tenggek burung, sambung nyawa, daun selom, pegaga dan banyak lagi. Bak kata pepatah “Tak kenal makan tak cinta”. Apabila kita tidak mengenali ulam-ulaman tersebut, sudah tentu sampai bila-bila mereka tidak berani mencubanya apatah lagi mengetahui 1001 khasiat yang tersembunyi disebaliknya. Diakui memang banyak Ilmu yang diketahui oleh orang terdahulu atau nenek moyang kita mengenai penggunaan ulam-ulaman dalam penjagaan kesihatan dalaman dan kecantikan luaran. Ilmu ini sekiranya tidak diamalkan dan diturunkan kepada generasi muda iaitu anak-anak kita maka ia akan lenyap sedikit demi sedikit ditelan arus kemodenan.

Oleh sebab itu, ibu bapa perlu mendidik anak sejak dari kecil lagi bermula di rumah dengan mengenali tumbuhan yang sering digunakan dalam masakan harian. Jika boleh, tanam tumbuhan tersebut dan anda boleh lihat ia membesar hari demi hari. Jadikan aktiviti berkebun sebagai satu aktiviti riadah atau hobi yang bermanfaat. Kebiasaannya, apa yang dilakukan oleh ibu bapa akan dilihat dan dituruti oleh anak-anak. Selain itu, didik anak kita dengan makan sayur-sayuran organik yang segar serta bebas dari bahan kimia. Secara tidak langsung, memberikan pendedahan awal kepada anak mengenai kepentingan tumbuhan dalam kehidupan seharian seterusnya menggalakkan anak-anak kita meminati dan mencintai tumbuh-tumbuhan. Apabila sudah mengenali dengan lebih dekat sesuatu tumbuhan maka kita akan lebih menghargainya.

Jadi, sebelum mendidik anak-anak mengenali tumbuhan yang sukar ditemui, lebih elok mengajar anak-anak makan buah. Galakkan anak anda makan bukan sejenis buah sahaja tetapi pelbagai buah yang terdapat di Malaysia.





Leave a Reply

Labels