Kita sering berhadapan dengan pelbagai skim-skim baru, yang menawarkan ganjaran menarik dengan modal yang rendah. Seringkali ramai yang tertarik dan menyertainya. Namun akhirnya apa yang dijanjikan itu tidak kesampaian dan modal yang dikeluarkan itu lesap begitu sahaja. Oleh itu sebagai langkah berjaga-jaga, demi mengelakkan diri daripada tertipu, sentiasa ingat petua-petua perlindungan yang berikut :
Tawarkan keuntungan tetap Hindari sebarang pelaburan yang menjamin keuntungan tetap atau tinggi bagi satu pelaburan kecil. Berhati-hatilah terhadap syarikat yang menjanjikan keuntungan besar atau menunjukkan prestasi cemerlang dalam satu tempoh masa yang pendek.
Perlu menaja orang lain
Berhati-hati dengan pelan yang menumpukan kepada membayar anda untuk melatih orang lain dan bukannya membayar anda kerana menjual produk atau perkhidmatan. Perkataan yang menjadi kunci utama untuk mengingatkan anda supaya berhati-hati ialah downline atau piramid.
Tempoh tawaran terhad Jangan sekali-kali bersetuju menyertai apa-apa peluang dalam keadaan mendesak, umpamanya tempoh untuk anda menyertai skim ini amat terhad atau beli sekarang, jika tidak, anda akan menyesal.
Kenakan bayaran pendahuluan
Memang mustahil untuk anda memenangi sebarang hadiah atau wang yang banyak jika anda tidak masuk sebarang pertandingan atau membeli loteri. Begitu juga, mustahil bagi sesuatu pertandingan yang sa di sisi undang-undang untuk meminta bayaran wang pendahuluan sebelum menyerahkan hadiah wang.
Panggilan tidak diduga Anda perlu bersikap ragu-ragu mengenai sebarang panggilan telefon yang tidak dijangka mengenai pelaburan daripada jurujual atau syarikat luar pesisir yang anda tidak kenali. Jika pemanggil itu mengaku sebagai wakil peniaga syarikat broker saham atau penasihat pelaburan yang dilesenkan oleh pihak berkuasa di luar negara, minta nama pihak kawal selia asing berkaitan yang melesenkan syarikat itu dan layari tapak webnya yang biasanya mempunyai senarai mereka yang berdaftar dan dilesenkan.
Ketahui maklumat syarikat Pastikan anda memperoleh rekod prestasi syarikat tersebut. Juga, mintalah maklumat bertulis mengenai produk pelaburan dan perniagaan itu, serta risiko yang terbabit dalam pelaburan tersebut. Baca dengan teliti prospektus atau laporan tahunan syarikat itu sebelum membuat pelaburan.
Jangan dedahkan maklumat peribadi Jangan berikan sebarang maklumat kewangan atau peribadi sebelum anda memastikan kesahihan syarikat itu.
Dapatkan maklumat lanjut Jangan takut bertanya soalan. Malah, lebih banyak soalan yang anda tanyakan, lebih baik lagi. Minta penjelasan mengenai apa-apa perkara yang anda tidak benar-benar fahami. Walau bagaimanapun, jangan menerima bulat-bulat semua maklumat yang diberikan. Siasat sendiri. Jika anda memerlukan bantuan untuk membuat penilaian terhadap pelaburan tersebut, pergilah kepada mereka yang boleh memberikan nasihat secara bebas dan profesional, contohnya wakil peniaga berlesen, penasihat pelaburan, peguam atau akauntan.
Semakan dengan pihak berkuasa Sentiasa periksa tapak web pihak pengawal selia, contohnya, tapak web Suruhanjaya Sekuriti (
www.sc.com.my), untuk mendapatkan maklumat mengenai amaran untuk pelabur, atau senarai syarikat-syarikat perantara berlesen.
Jangan melabur jika ragu-ragu Jika ragu-ragu, jangan melabur. Mengapa anda mesti meletakkan wang anda dalam risiko jika anda tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai syarikat, jurujual/esen, atau pelaburan tersebut? Ingatlah, jika sesuatu janji itu nampak macam mustahil boleh dilaksanakan, kemungkinan besar memang mustahil boleh berlaku!