Friday, 17 May 2013

Elak Keracunan Ubat-ubatan

0 comments



Keracunan boleh berlaku di mana-mana atau pada bila-bila masa. Kanak-kanak merupakan golongan yang sering terdedah kepada keracunan sama ada di rumah mahu pun di luar rumah.


Di Pusat Racun Negara, laporan menunjukkan lebih 26% daripada kes-kes keracunan yang dirujuk dari tahun 1995 sehingga Jun 2001 adalah melibatkan kanak-kanak. 

Kebanyakan daripada kes-kes tersebut juga didapati melibatkan golongan yang berusia antara 1 hingga 6 tahun. Golongan ini biasanya suka mencuba sesuatu yang baru dan menarik tanpa mengetahui bahayanya hal ini kepada mereka.

Apakah keracunan ubat-ubatan?

Hampir setiap rumah mempunyai atau menyimpan ubat sama ada dalam bentuk ubat biji atau cecair yang boleh dimakan, atau bentuk yang tidak boleh dimakan seperti ubat sedut, supositori, krim, salap, losyen dan ubat titis. 

Setiap ubat adalah racun sekiranya tidak digunakan mengikut peraturan yang disarankan. Oleh itu, setiap arahan penggunaan pada label atau yang diberitahu oleh doktor dan petugas di kaunter farmasi mestilah difahami dan dipatuhi untuk mengelakkan risiko keracunan.

Selain itu, keracunan juga boleh berlaku akibat kelalaian ibu bapa atau penjaga dalam mengambil langkah-langkah tertentu memastikan semua ubat-ubatan dalam rumah sentiasa dijauhkan daripada kanak-kanak.

Apakah ubat-ubatan yang sering menyebabkan keracunan kepada kanak-kanak?

Terdapat banyak jenis ubat-ubatan yang sering diberikan kepada kanak-kanak untuk merawat pelbagai penyakit. Ubat-ubatan ini mungkin diperoleh melalui preskripsi doktor atau dibeli dari farmasi atau kedai-kedai lain. 

Antara ubat-ubatan yang sering diberikan kepada kanak-kanak ialah ubat demam, ubat selesema dan batuk, zat besi dan pelbagai jenis ubat-ubatan untuk kegunaan luar.

Terdapat juga ubat-ubatan untuk orang dewasa yang dimakan oleh kanak-kanak secara tidak sengaja kerana menyangka ubat tersebut adalah makanan kegemaran mereka seperti gula-gula atau coklat.

Antara contoh ubat-ubatan yang sering diberikan kepada kanak-kanak dan biasanya terdapat di kebanyakan rumah ialah :

Ubat demam

Ubat demam adalah sinonim dengan parasetamol malah ia adalah ubat yang paling kerap digunakan untuk kanak-kanak. Selain demam, juga digunakan untuk meredakan atau menghilangkan kesakitan. 

Mudah dibeli di kedai-kedai tanpa memerlukan preskripsi doktor serta terdapat dalam pelbagai bentuk formulasi seperti ubat kunyah, cecair dan supositori.

Kebanyakan ibu bapa sering menganggap parasetamol adalah 'sangat selamat'. Tetapi kajian-kajian menunjukkan banyak kes keracunan berlaku kerana sebahagian ibu bapa atau penjaga memberikan dos-dos parasetamol yang tidak betul kepada kanak-kanak. 

Kesilapan yang paling ketara ialah memberi dos dewasa dalam bentuk ubat biji yang tidak sesuai untuk usia kanak-kanak tersebut. 

Dalam kes-kes lain pula, keracunan terjadi kerana kesilapan mengira dos yang betul serta kesalahan menyukat dos ubat cecair.

Paracetamol untuk kanak-kanak biasanya didapati dalam warna yang menarik serta mempunyai rasa yang enak. Oleh itu, kanak-kanak cenderung untuk memakannya sendiri sekiranya diletakkan di tempat yang mudah dijumpai oleh mereka. 

Lebihan dos parasetamol yang dimakan oleh kanak-kanak berkemungkinan menyebabkan kerosakan hati yang jika tidak menerima rawatan segara dan boleh membawa maut.

Ubat selesema dan ubat batuk

Ubat untuk rawatan selesema dan batuk biasanya mengandungi antihistamin di samping bahan-bahan lain. Contoh antihistamin konvensional adalah seperti klorfeniramin, prometazin, trimeprazin, defehidramin, triprolidin dan lain-lain lagi. 

Pada dos-dos yang selamat, antihistamin konvensional boleh menyebabkan rasa mengantuk akan tetapi jika dos berlebihan kanak-kanak akan mengalami tanda-tanda rangsangan sistem saraf pusat seperti pembesaran anak mata, muka merah, mulut kering, demam, dan ataksia (pergerakan otot yang tidak seragam). 

Selain itu, keracunan juga menyebabkan sawan, tekanan darah meningkat serta perubahan pada fungsi jantung. Sekiranya tidak diberi rawatan segera, maut mungkin menyusul.

Selain antihistamin konvensional, antihistamin generasi kedua seperti yang tidak menyebabkan rasa mengantuk banyak digunakan masa kini. Lebihan dos boleh menyebabkan kesan toksik kepada jantung dan sawan.

Di samping itu, bahan lain yang terkandung dalam ubat selesema dan ubat batuk ialah pseudoephedrine, dan jika diambil dalam dos berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah meningkat, sakit kepala, halusinasi penglihatan (visual hallucination), kekeliruan, koma, kekurangan bekalan oksigen kepada otot jantung dan lain-lain kesan toksik pada jantung.

Zat besi (Iron)

Keracunan zat besi merupakan punca utama kematian kanak-kanak di bawah 6 tahun yang dilaporkan berlaku dari tahun 1988 sehingga tahun 1992 di Amerika Syarikat.

Zat besi biasanya didapati dalam banyak sediaan ubat vitamin kanak-kanak dan ibu hamil. Zat besi merupakan zat yang penting untuk mencegah anemia atau keadaan kurang darah yang disebabkan oleh kekurangan zat besi.

Kanak-kanak yang mengalami lebihan zat besi akan mengalami kesan keracunan segera dan kesan keracunan jangka panjang. 

Kesan segera biasanya berlaku beberapa minit atau beberapa jam selepas mereka menelan ubat tersebut. 

Antaranya ialah rasa loya, muntah, cirit-birit dan pendarahan perut-usus, yang boleh mengakibatkan kejutan, koma dan maut.

Dalam beberapa kes keracunan, kanak-kanak berkenaan kelihatan sembuh seperti sedia kala, akan tetapi pendarahan perut-usus yang teruk, keletihan berlebihan, kegagalan jantung dan koma boleh berlaku antara 12 jam sehingga 2 hari kemudiannya. 

Walaupun kanak-kanak tersebut selamat, mereka mungkin mengalami masalah-masalah lain seperti saluran perut-usus tersumbat dan kerosakan hati yang teruk dalam tempoh 3 hingga 6 minggu selepas tarikh keracunan.

Oleh itu, sekiranya anak anda tertelan lebihan ubat yang mengandungi zat besi, bawa dia ke hospital segera walaupun tiada kesan segera keracunan diperhatikan. 

Kadangkala tanda-tanda yang teruk tidak terjadi dalam tempoh yang singkat dan rawatan yang lambat diberi mungkin tidak lagi berkesan.

Bagaimana mencegah keracunan?

Keracunan pada kanak-kanak adalah sesuatu yang boleh dicegah. Usaha-usaha yang gigih untuk mengelakkan keracunan perlu mengambil kira peringkat umur kanak-kanak tersebut.

Kanak-kanak berusia 1 hingga 3 tahun merupakan golongan yang paling berisiko untuk mengalami keracunan kerana mereka cenderung untuk memasukkan apa sahaja ke dalam mulut mereka. 

Kanak-kanak pada peringkat umur ini baru belajar merangkak dan berjalan dan terdedah kepada pelbagai barangan di dalam rumah. 

Langkah-langkah pencegahan keracunan di rumah paling baik dimulakan ketika kanak-kanak berusia 6 bulan atau sebelum kanak-kanak tersebut menyusur dan merangkak.

Kanak-kanak berusia 3 hingga 5 tahun biasanya akan memakan sebarang ubat atau pil yang mereka temui. Kumpulan ini bersifat ingin mencuba dan mereka juga gemar meniru gelagat orang dewasa. 

Apabila usia mereka meningkat, usaha-usaha pencegahan akan lebih cenderung daripada melindungi kepada mendidik. Pada peringkat ini, ibu bapa hendaklah memberitahu anak-anak tentang bahaya keracunan ubat-ubatan.

Leave a Reply

Labels