
Friday, 24 May 2013
Warna Dalam Hiasan Dalaman
Warna Dalam Hiasan Dalaman
MERAH JAMBU dikaitkan dengan keremajaan, dan keseronokan. Merah jambu ialah warna kegembiraan, ceria, dan adakalanya seperti 'bebas daripada sebarang masalah'. Ia dibayangkan sebagai warna romatik, dan rasa kelembutan. Warna merah jampu juga ialah warna yang tepat untuk cinta.
JINGGA, yang terhampir dengan merah, ialah warna berkait rapat dengan masa seronok, suka ria dan hari-hari yang bertenaga. Ia juga dikaitkan dengan keinginan. Kebiasaannya, berbanding warna-warna lain, terdapat kesan positif dan juga negatif yang kuat pada warna jingga, di mana warna jingga asli secara umumnya akan melahirkan rasa 'sangat suka' atau 'sangat benci' pada seseorang. Warna tersebut mampu memberi kesan yang baik pada tema kontemporari, tetapi bukannya pada tema tradisional. Pemilihannya untuk ruang dapur dan ruang makan boleh mewujudkan rasa yang lebih selesa.
COKLAT menyatakan kestabilan, kebolehpercayaan, setiakawan, dan senang didekati. Coklat ialah warna bumi (tanah) dan dikaitkan dengan semua unsur semulajadi dan organik. Ia juga mampu memberi suasana nyaman dan selesa. Coklat sesuai digunakan untuk ruang-ruang yang kerap menjadi tumpuan seperti ruang tamu. Coklat juga boleh dipadankan dengan warga 'garang' atau warna 'hangat'.
HITAM adalah persepsi bagi kuasa, kekuatan, elegan, misteri, dan mewah. Ia juga warna untuk kebijaksanaan, selain menunjukkan stail dan 'tak lekang dek zaman', dan satu warna penegasan yang cantik untuk hiasan dalaman. Hitam menonjolkan ciri 'serius' yang dapat membangkitkan emosi yang kuat. Ia mudah mengganggu sekiranya terlalu banyak warna hitam. Kecerahan hasil gabungan hitam dan putih lazimnya memperlihatkan ciri sangat moden.
PUTIH, walaubagaimana pun, menzahirkan ketulenan dan kesucian. Ia adalah gabungan semua warna yang ada di dalam spektrum warna. Ia juga digunakan untuk menghasilkan kesan 'tanpa warna', atau neutral.
KELABU ialah warna bagi intelek, berpengetahuan, dan bijaksana. Ia diertikan sebagai tahan lama, klasik, dan selalu juga sebagai licin atau halus. Ia juga lebih bersifat konservatif dan membawa maksud berkuasa. Kelabu juga dianggap sebagai warna yang boleh bertolak ansur, mungkin kerana kedudukannya di antara hitam dan putih. Kelabu adalah warna neutral yang sempurna, di mana para pereka selalu menggunakannya sebagai warna bagi latar belakang. Sedikit sentuhan warna kelabu berguna untuk mendapatkan mood yang mantap, tetapi, terlalu banyak warna kelabu, hanya akan menimbulkan rasa 'kosong'.
Sumber : Deko Rumah

Subscribe to:
Post Comments (Atom)