Wednesday, 22 June 2011
Anak Panas Baran
Kanak-kanak melihat dan meniru aksi orang dewasa. Justeru sebagai ibu bapa, tahukah anda bahawa tingkah laku agresif seperti memukul, menggigit dan menjerit adalah perkara normal dalam perkembangan anak berusia 1-2 tahun. Kemampuan berbahasa yang sedikit/terbatas, keinginan kuat untuk melakukan sesuatu dan belum terbentuknya kawalan kemahuan di otak membuatkan anak-anak ini bertingkah laku agresif.
Penjaga anak-anak kecil perlu menjaga kelakuan dan setiap perkataan yang kita tuturkan. Memang kadangkala kerana terlalu marah atau tertekan, secara tidak sedar telah menaikkan suara atau membaling barang. Malahan aksi seperti ini banyak ditayangkan di kaca televisyen. Anak-anak kecil yang tidak faham situasi sebenar akan meniru aksi ini. Mereka akan fikir bahawa beginilah cara melepaskan kemarahan atau ketidakpuasan hati - “Dengan cara ini sahaja permintaan aku akan dipenuhi”. Bahkan selalunya, apabila kita sudah tidak tahan melihatnya mengamuk dan membaling baranglah kita akan memenuhi permintaannya.
Jadi, semakin menjadi-jadilah perbuatannya itu.
Oleh itu, tunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak. Katakan padanya sebagai contoh “mama sayang abang, tapi mama tak suka abang marah-marah”. Kalau boleh luangkan masa dan berikan perhatian kepada kehendaknya untuk memahaminya agar tidak akan timbul rasa marah. Marahnya adalah disebabkan kehendak yang tidak dilayan atau dipenuhi. Contohnya, apabila anak kita mahu bertanya sesuatu, tetapi kita leka dan asyik menonton rancangan televisyen kegemaran, jadi tidak mendengar permintaannya itu. Apabila sudah berulang kali soalan diajukan, barulah kita sedar dan respons padanya, tentunya amarah sudah menguasainya. Ini kerana anak-anak kecil tidak tahu lagi mengawal kemarahannya. Mendidik anak-anak bukanlah mudah. Ketabahan, kesabaran dan kerjasama daripada pasangan (suami/isteri) amat diperlukan.
Sumber : Perpustakaan Negara
Dari meja pengarang : dalamcantik.com
Anda boleh menghantar soalan atau cadangan topik ke email dalamcantik@gmail.com (maklumat anda akan dirahsiakan).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)