Monday 26 September 2011

Petua Laman Rumah

0 comments


Kita sering memasang impian untuk mendapatkan sentuhan para profesional seperti arkitek landskap dan pereka bentuk landskap menata rias laman kediaman. Tidak dinafikan konsultasi daripada mereka dapat memperbaiki persekitaran lantas memberi nilai tambah terhadap reka bentuk keseluruhan tetapi adakalanya ia melibatkan sejumlah kos yang tidak mampu ditanggung oleh pemilik kediaman. Di sini diberikan beberapa tips dan kaedah ringkas bagaimana memulakan perancangan teliti pembinaan taman mengikut kaedah profesional.


1) Anda mungkin termangu-mangu memikirkan cara bagaimana ingin mula sebaik sahaja terpandang sebidang tanah kosong di halaman. Tidak perlu gusar kerana apa yang perlu anda lakukan ialah dapatkan dahulu pelan kediaman yang dibekalkan pemaju semasa proses jual beli.
 
2) Lakukan sedikit kajian tentang persekitaran kediaman anda seperti arah matahari aik, masalah-masalah semasa yang dihadapi, laluan trafik taman, kelemahan atau kekurangan tapak yang ingin diperbaiki, saliran juga keadaan tanah.Senaraikan secara ringkas kerana setiap faktor ini akan diambil kira dalam proses membina taman. Tidak ketinggalan, keperluan aktiviti dan cara hidup anda sebagai penghuni yang bakal menggunakan ruang taman ini kelak.

3) Setelah itu lakaran secara kasar boleh dilakukan di atas pelan kediaman tersebut berpandukan konsep pilihan anda. Gunakan imaginasi dan kreativiti anda dalam proses mereka bentuk taman. Kelebihan melakar pelan konsep ini ialah anda dapat merancang secara teliti peletakan elemenelemen reka bentuk seperti elemen soft landscape dan elemen hard landscape dengan lebih teratur. Kedudukan pokok-pokok sebagai teduhan, pagaran, kedudukan pergola, tempat duduk, kolam, pencahayaan dan laluan pejalan kaki antara unsur penting yang mesti dipastikan lokasinya dalam pelan berkenaan. Pembinaan secara terancang ini bukan sahaja memberi gambaran taman lebih jelas di minda tetapi turut menjimatkan masa dan mengelakkan daripada berlakunya pembaziran.




4) Dalam proses ini juga, anda boleh menentukan pemilihan spesies tumbuh-tumbuhan mengikut kesesuaian tanah, karakter pokok dan cita rasa sendiri. Tetapi elakkan memilih spesies hanya berdasarkan cita rasa semata-mata berbanding praktikal kerana kegagalan serta kesilapan di peringkat awal akan melipat gandakan kos kerugian anda di kemudian hari.

5) Setelah pelan landskap anda siap sepenuhnya, kini anda mampu memulakan proses membina taman berpandukan lukisan tersebut. Bina secara berperingkat seperti yang sudah termaktub di dalam pelan. Selamat mencuba!




   

Leave a Reply

Labels