Wednesday, 18 April 2012

Komik - Kebaikan dan Keburukan untuk Pelajar

0 comments


Komik merupakan bahan bacaan yang digemari oleh remaja kini. Amalan membaca komik sudah menjadi sesuatu yang lumrah sehingga amalan ini membawa pelbagai impak kepada pelajar.

Kebaikan ketara membaca komik ialah pelajar mampu berlibur yakni berehat untuk menenangkan emosi dan jiwa mereka dengan tenang. Penggunaan gambar yang menarik dan jalan cerita yang unik menjadikan pembacaan komik satu amalan yang menghiburkan.

Pada masa yang sama, amalan membaca komik ini juga secara tersirat menjadikan seseorang pelajar itu minat untuk membaca. Semakin banyak bahan komik yang dibaca sudah pasti timbul minat untuk membaca sebarang bahan termasuklah buku teks yang pastinya memberikan kesan positif kepada pelajar kita.

Namun, komik juga membawa impak negatif yakni harga bahan bacaan berunsur komik yang begitu tinggi ini. Sudah pasti pelajar akan menghabiskan sejumlah wang yang banyak untuk membeli bahan komik ini setiap minggu atau bulan yang boleh digunakan untuk membeli keperluan penting lain juga.

Komik juga sering dianggap pencetus unsur keganasan kerana banyak aksi yang dipaparkan melambangkan aspek keganasan. Tambahan pula, keganasan ini menyebabkan pelajar mudah terpengaruh lalu berusaha untuk menirunya sehingga menyebabkan mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat pula.

Kesimpulannya, pelajar perlu bijak untuk menilai jenis komik yang sesuai untuk dibaca oleh mereka. Pelajar harus sedar bahawa sebarang pembacaan perlulah berlandaskan rasa bertanggungjawab dan memberi informasi yang berguna.




 

Leave a Reply

Labels