Wednesday 25 April 2012

Pokok Stevia

0 comments


Stevia merupakan genus yang terdiri daripada 150 spesies herba daripada keluarga bunga matahari (Astereacea). Di Malaysia ia juga digelar sebagai Pokok Gula kerana dipercayai dapat mengurangkan kencing manis. Stevia yang digunakan secara meluas sebagai pemanis ialah stevia dari Spesis Rebaudiana. Ia juga dikenali sebagai sweetleaf, sugarleaf ataupun sweet herb.

Ia merupakan sejenis tumbuhan herba berbatang lembut. Untuk menanamnya, medium yang digunakan ialah dari jenis poros supaya tiada air yang akan bertakung selepas ia disiram.Tumbuhan ini memerlukan air yang mencukupi dan perlu disiram 2 kali sehari dalam cuaca panas. Ia akan cepat kering dan mati jika kekurangan air. Daunnya berbentuk bujur. Batangnya halus dan bergerutu. Dalam keadaan optimun stevia boleh mencapai ketinggian sehingga 1 meter atau lebih. Ia mengeluarkan bunga kecil berwara putih. Bentuk bunganya menyerupai bunga-bunga aster yang lain, cuma saiznya kecil. Bunga ini akan menghasilkan biji benih apabila matang. Pembiakan selalunya menggunakan keratan batang. Keratan batangnya mudah mengeluarkan akar. Walaupun ia boleh juga membiak menggunakan biji benih, namun kadar percambahan biji benihnya amat rendah sehingga ia jarang dibiakkan dengan menggunakan biji benih.

Bahan aktif yang bertanggungjawab ke atas rasa manis pada daun stevia dikenali sebagai steviol glycosides yang mengandungi stevioside dan rebaudioside. Bahan aktif ini stabil pada suhu tinggi, nilai pH yang stabil dan tidak merangsang tindak balas glycemic, menjadikan ia semakin digemari orang ramai terutamanya untuk yang ingin menghadkan pengambilan karbohidrat dan mengelakkan diabetes. Selain itu, stevia juga didapati boleh merawat tekanan darah tinggi, mengurangkan tahap asid urik dan obesiti.

Stevia telah digunakan sebagai pemanis semulajadi oleh masyarakat di Brazil dan Paraguay sejak beratus-ratus tahun dahulu lagi. Ia mula digunakan oleh kaum Red Indian Guarani di Paraguay sejak 1500 tahun yang silam. Ia digunakan terutamanya untuk memaniskan teh herba mereka. Selain daripada itu ia juga digunakan untuk memaniskan makanan mereka. Mereka juga menggunakan Stevia sebagai penawar terutamanya untuk menurunkan tekanan darah tinggi, melawaskan kencing dan merawat luka terbakar.





Leave a Reply

Labels