Monday 7 May 2012

BISIKAN SIRR #13

0 comments



[13] ✿ܓ♥ ANAK AMANAH ALLAH

Berapa ramai ibu bapa kini yang kecewa menghantar anak menuntut ilmu agar dapat bergantung hidup kepada mereka apabila bekerja kelak, namun malangnya anak tidak mempedulikan mereka. Terkeliru, adakah mereka cintakan ilmu atau cintakan pembalasan. Pengorbanan memberi ilmu pada anak-anak adalah jihad, namun segala pengorbanan itu akan sia-sia di sisi ALLAH jika terdapat kesyirikan.

Jangan bergantung masa depan dan rezeqi dengan anak-anak, bergantunglah dengan ALLAH dalam setiap urusan. Sesungguhnya ALLAH adalah sebaik-baik jaminan. Amat dibimbangi, ALLAH akan mencabut keberkatan kerana niat yang salah, lalu hilanglah kasih sayang anak-anak dalam hati mereka terhadap ibu bapanya. Walaupun pada zahirnya kelihatan baik tetapi hati mereka mendoakan kematian, kerana merasakan ibu bapanya menyusah dan menjadi beban pada mereka. Ada yang membiarkan ibu bapa meringkuk kesusahan dalam meniti hari-hari tua.

Ingatlah anak-anak adalah amanah ALLAH, memberi ilmu adalah menunaikan amanah dalam rangka ibadah kepada-Nya. Tidak terungkit ianya sebagai jasa, bahkan ia merupakan kewajiban dan membiarkan mereka jahil adalah dosa. Ikhlaslah dan bergantunglah kepada ALLAH dalam kehidupan. Jangan bergantung kepada sesiapa walaupun kita banyak berjasa pada mereka. ALLAH yang menjamin dan memberi rezeqi, Dia adalah sebaik-baik penjamin.

أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُم بِهِ مِن مَّالٍ وَبَنِينَ (55) نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ ۚ بَل لَّا يَشْعُرُونَ

" Apakah mereka mengira bahawa harta dan anak-anak yang Kami berikan kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami segera memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? Tidak! sebenarnya mereka tidak menyedarinya. [Al-Mukminuun: 55-56]

Dia akan jadikan orang di sekelilingmu menyayangi dan tidak lupa kepadamu walaupun engkau tidak mengharap balasan atas kebaikan yang kamu lakukan. Sesungguhnya segala hati manusia dalam genggaman-Nya. Jangan syirik kepada-Nya, nanti engkau akan menderita dunia dan akhirat.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

"....Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka." [Al-Baqarah: 201]

Leave a Reply

Labels