Friday, 18 May 2012

Lancar di Atas Jalan, Hhebat di Offroad

0 comments

NOVEMBER 2009 menyaksikan pelancaran motosikal dwikegunaan iaitu KLX150S oleh Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia). Jentera yang dipasang tempatan (CKD) itu ditempatkan bersama tiga model dalam segmen sama iaitu KSR110, KLX250 dan D-Tracker X.

KLX150S direka oleh jurutera-jurutera Jepun untuk pasaran Asia seperti Malaysia. Ia memiliki reka bentuk campuran dua model berbeza iaitu KX450F dan KLX140. Maka tidak hairanlah jika motosikal tersebut dilihat sebagai antara produk terbaik dalam segmen tersendiri.

Motosikal dwikegunaan bermaksud ia boleh digunakan secara sah di atas jalan raya dan di laluan offroad. Model itu dipasang dengan enjin empat lejang satu silinder bersesaran 144cc. Kotak gear lima kelajuan dan kaburator jenis Keihin NCV24 diberi padanan.

Berbekalkan tangki sebesar tujuh liter, KLX150S didakwa menawarkan penjimatan penggunaan bahan api berikutan teknologi KSAI (Kawasaki Secondary Air Injection System) yang menepati piawaian emisi EURO 2.

Meter motosikal itu sama seperti dengan model KSR110. Ia cukup ringkas. Tiada petunjuk status baki petrol. Meter laju yang kecil memiliki pencahayaan latar belakang berwarna merah.

Ekzos bersegi empat KLX150S ditempatkan pada bahagian bawah kanan tempat duduk dan ia tidak menghasilkan bunyi deruman yang membingitkan telinga. Motosikal dua tempat duduk itu dipasang dengan sebuah beg untuk simpanan barangan kecil pada bahagian hujung tempat duduk.

Enjin itu dikatakan mampu meledakkan kuasa kuda dan tork maksimum masing-masing sebanyak 11.7PS pada 8,000rpm dan 12Nm @ 6,500rpm. Untuk menghidupkannya, anda hanya perlu menekan butang penghidup atau penendang kaki.

Dengan ketinggian saya lebih 170 sentimeter, tiada sebarang masalah untuk mengimbangi motosikal tersebut. Ketinggian tempat duduk KLX150S adalah 835 milimeter (mm). Bagi saya, inilah antara jentera dwikegunaan yang menawarkan posisi tunggangan rendah.

Tunggangan malam sememangnya bagus. Ini kerana penggunaan lampu utama jenis halogen menawarkan suluhan cahaya yang terang. Begitu juga paparan lampu isyarat membelok.

Motosikal seberat 108 kilogram itu mudah dikendalikan sewaktu mengharungi kesesakan lalu lintas sekitar ibu negara. Kelajuan yang berjaya diperah di jalan lurus adalah antara 110km sejam (km/j) hingga 120km/j. Jentera itu dibina untuk kuasa tarikan, bukannya pecutan atau kelajuan.

Tunggangan offroad

Prestasi dan keseimbangan KLX150S di atas tanah tidak berturap dan berpasir meyakinkan penunggang offroad amatur seperti saya. Fork teleskopik hadapan dan penyerap hentak Uni-trak membantu pengendalian jentera yang lebih baik. 

Rim berukuran 19 inci di hadapan dan 16 inci di belakang dibalut dengan tayar berbunga tebal jenama IRC. Keyakinan tunggangan offroad dikuatkan lagi dengan keupayaan membrek menggunakan dua set brek cakera. 

Roda hadapan dilengkapi cakera berukuran 240mm dengan angkup dua omboh. Bahagian belakang pula dipasang dengan cakera 190mm bersama angkup omboh tunggal. 

Gear pertama dan kedua didapati lebih panjang. Ia membolehkan kuasa pendakian dan tork diperah secukupnya ketika tunggangan di kawasan tidak berturap. Penukaran gear juga cukup mudah dan pantas.





Leave a Reply

Labels