Nama dua figura ini barangkali tidak perlu diperkenalkan lagi dalam
industri seni tanah air. Uniknya, tidak sekadar berbakat dalam bidang
lakonan yang selama ini menaikkan nama mereka, jejaka pujaan Malaya,
Remy Ishak dan gadis pan asia, Diana Danielle turut mempunyai bakat
terpendam dalam bidang seni suara.
Jika Diana pernah menyumbangkan suaranya untuk runut bunyi filem
Magika, Remy pula menyumbangkan suaranya untuk salah satu lagu di dalam
filem 29 Februari.
Justeru, tidak hairanlah apabila mereka berdua menjadi antara teraju
utama filem terbaru arahan Osman Ali, Jiwa Taiko yang akan menemui
penonton pertengahan Jun ini.
Namun, di sebalik bakat yang dimiliki selebriti muda ini, keduanya
pernah melalui kisah kontroversi yang hampir mencalarkan nama baik
mereka dalam bidang seni.
Enggan lagi menyelak lembaran lama, baik Remy mahupun Diana, keduanya
mempunyai pendapat yang sama iaitu tidak mahu lagi mengambil kisah pahit
itu dari sudut yang negatif sebaliknya memandang ia dari sudut positif.
Malah, bagi Diana sendiri, biarpun namanya sekali lagi dipalit dengan
kisah negatif baru-baru ini, namun dia mengakui cukup bertuah kerana
berpeluang melalui cabaran ini pada usia muda.
Bagi Remy pula, biarpun tahun 2011 boleh dikatakan tahun paling kelam
buat aktor berkulit hitam manis ini, namun dia tidak mahu lagi menoleh
ke belakang dan mahu meneruskan kariernya ke tahap yang lebih baik lagi.