Friday, 10 May 2013

Jaga Adab Apabila Bersama Warga Tua

0 comments



Beri salam
Setiap kali bertemu orang yang lebih tua sebaiknya berilah salam dengan penuh keikhlasan. Kucuplah tangan mereka itu. Sekurang-kurangnya ia dapat mengundang perasaan kasih dalam diri orang tua terhadap anda. Lalu bangkitkan suasana hangat dengan mengalu-alukan kehadiran orang yang lebih tua dalam hidup anda. Misalnya, mengajaknya berkongsi idea bersama, mendengar dengan teliti setiap butir kata yang disampaikan dan sabar melayan setiap kerenah mereka.


Penyampaian Sederhana
Ketika menyampaikan sesuatu maklumat sama ada berita gembira atau sedih, ia perlu disampaikan dengan penuh berhemah dan bersederhana. Elakkan keghairahan kala bercerita kerana ia boleh mempengaruhi atau mengguris perasaan orang yang lebih tua. Mereka sebenarnya lebih peka dan lebih sensitif terhadap sesuatu.


Jangan Terlebih Yakin
Kenyakinan diri kala berbicara itu penting, tetapi jangan sampai terlebih yakin dan mengundang sifat sombong dalam diri. Terutama apabila bercerita mengenai kerjaya dan kedudukan anda di mata masyarakat. Bukan semua perkara dalam diri anda akan disenangi oleh orang lain. Jika anda pandai menyusun tutur kata, pasti anda lebih disayangi oleh mereka. Begitu juga sewaktu menyampaikan tentang kekurangan diri, jangan terlalu berlebih-lebihan sampai meratapi nasib. Ia menyebabkan kepercayaan dan semangat untuk hidup berkurangan. Memberitahu kekurangan orang lain juga perkara yang paling senang untuk dibualkan. Skandal-skandal liar terutamanya, maka itulah yang disarankan agar kita bijak menutur  kata dan berhati-hati dalam berkata-kata. Ada kalanya kata-kata kita itu bukan mendatangkan pahala malah mengundang dosa.


Sopan
Perlakuan sopan juga membantu kala berbicara dengan orang yang lebih tua. Sekiranya mereka sedang duduk di hadapan anda, dan anda perlu untuk melintasinya, maka tundukkanlah sedikit tubuh anda sambil meminta izinnya untuk lalu. Begitu juga ketika hendak duduk disebelahnya atau terpaksa memotong barisan ketika sedang beratur untuk membayar bil. Kadangkala tutur kata dan kesopanan yang ditunjukkan membuat mereka berasa simpati dengan kesusahan dan memahami situasi yang anda alami.


Wajah Manis
Jika anda belajar untuk memaafkan dan berlapang dada, sudah tentu anda dapat manfaatnya di kemudian hari. Sampaikan setiap perkara itu dengan sulaman kemanisan dan keceriaan wajah. Walaupun berita itu sedih, anda masih boleh menyampaikannya dengan segaris senyuman dan pengharapan. Sekurang-kurangnya senyuman itu dapat menawarkan kedukaan yang mereka sedang alami.


Jangan Ungkap kata kesat
Jangan sesekali mengungkapkan kata-kata kesat yang boleh mnegguris hati mereka. Apatah lagi mengherdik orang yang lebih tua. Sekalipun perlakuan mereka mencabar kesabaran anda yang lebih muda, tetap sampaikanlah perasaan anda dengan penuh berhemah. Jika tidak dapat diluahkan dengan tutur kata, tidak salah anda mencoretnya diatas sekeping kertas.


Hulurkan bantuan
Sekiranyan anda diamanahkan untuk menjaga harta bendamereka, maka peliharalah dengan sebaik-baiknya. Jaga juga nama baik dan kehormatan diri anda. Secara tidak langsung, maruah mereka akan dipandang tinggi di mata masyarakat. Jangan lupa untuk menghulurkan bantuan seperti membeli barangan keperluan dapur mahupun peribadi. Meringankan beban orang tua juga memberi pulangan yang cukup lumayan untuk anda. Jika dikerjakan dengan ikhlas, anda akan berasa selesa dan tenang sentiasa.


Jangan ego ucap maaf
Jangan ego untuk menyampaikan kata-kata maaf sekiranya anda telah mengguris hati mereka. Sebaik-baiknya meminta maaf setiap hari, kadangkala orang tua tidak menyatakan kecalaran hati mereka. Maka anda sebagai yang muda perlu merendah diri sendiri. Jika mahu membantah mereka, maka jangan menyalahkan orang tua. Sebaliknya usahakan dengan sopan agar penjelasan dapat diterima oleh mereka dengan hati yang terbuka. Suara juga perlu dijaga nadanya, sebaliknya berlembutlah dengan mereka.


Hormati makan minum mereka
Ketika di meja makan, anda perlu menghormati makan dan minum mereka. Jika anda perlu makan dahulu, maka asingkanlah makanan dan minuman mereka dalam bekas yang berlainan. Jangan memberi mereka lebihan anda, ia mengundang perlakuan kurang sopan dan seolah-olah anda tidak menghormati mereka yang lebih tua.

Leave a Reply

Labels