Monday, 27 June 2011
Kepentingan Vitamin Dan Mineral
Ketika hamil, hospital atau klinik bersalin yang anda kunjungi lazimnya membekalkan vitamin seperti Obimin (multivitamin yang dirumus khas untuk ibu hamil) dan asid folik. Mahu tidak mahu, anda perlu mengambil bekalan vitamin ini setiap hari bagi memastikan tahap kesihatan diri dan bayi dalam kandungan berada dalam keadaan memuaskan.
Ketahuilah, perkara yang sama patut anda lakukan ketika dalam proses menyusukan bayi! Hal ini kerana anda masih memerlukan vitamin dan mineral tambahan dalam usaha menjayakan penyusuan eksklusif. Faktanya, bayi tetap akan mendapat apa yang diperlukannya menerusi susu ibu biarpun tubuh anda kekurangan vitamin atau mineral tertentu. Walaupun begitu, pemakanan sihat dan seimbang yang digabungkan bersama suplemen tetap perlu anda pertimbangkan demi menjamin kesihatan diri dan bayi bagi tempoh jangka panjang.
Ramai yang menganggap keperluan suplemen semasa menyusukan bayi semata-mata hanya untuk memperbanyakkan amaun susu ibu. Tanggapan ini pun salah. Sebenarnya, susu yang penuh nutrisi adalah susu ibu yang mengandungi kesemua khasiat pada tahap optimum dan ia hanya boleh diperoleh daripada tubuh yang sihat. Secara logiknya, sewaktu hamil anda makan pelbagai jenis suplemen untuk menyokong perkembangan bayi. Jadi, apabila berada dalam fasa penyusuan, mengapa keperluan suplemen ini diabaikan. Sama seperti ketika hamil, suplemen turut penting untuk anda membesarkan si manja.
Mungkin agak sukar untuk anda makan dengan baik selepas tempoh kehamilan. Namun, panduan ini mungkin dapat memotivasikan anda untuk berusaha menjaga pemakanan seharian. Setiap hari, anda perlu makan antara 5 - 9 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran serta 2 - 3 hidangan protein seperti daging tidak berlemak dan kekacang. Anda juga perlu makan 6 - 7 hidangan karbohidrat seperti nasi, bijiran dan pasta. Sudah semestinya anda perlu kekal hidrat dengan meminum sehingga 8 gelas air sehari.
Memandangkan proses penyusuan susu ibu menuntut keperluan nutrien yang banyak, jadi anda masih perlu mengambil suplemen tambahan untuk melengkapkan zat pemakanan yang diperlukan. Antaranya ialah omega-3 yang ternyata sangat penting untuk perkembangan otak bayi. Sama juga halnya dengan kalsium yang diperlukan untuk tulang dan gigi yang kuat. Vitamin dan mineral lain yang anda perlukan adalah seperti zat besi, zink dan magnesium.
Majoriti suplemen vitamin dan mineral tambahan tidak menjejaskan penghasilan susu dan diakui selamat untuk diambil oleh ibu yang menyusukan bayinya. Walau bagaimanapun, perlu anda ingat bahawa lemak larut seperti vitamin A dan E boleh mengganggu susu ibu. Oleh yang demikian, amalkan sikap berhati-hati apabila mengambil suplemen yang mengandungi kedua-dua jenis vitamin ini. Pengambilan terlalu banyak vitamin-vitamin ini turut boleh memudaratkan bayi. Untuk itu, minta pandangan doktor terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk mengambil apa jua jenis suplemen.
Dalam usaha menjaga kesihatan sepanjang tempoh penyusuan susu ibu, diingatkan agar anda makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran segar di samping pelbagai vitamin dan mineral yang terkandung di dalam jenis makanan yang lain. Sekiranya, anda khuatir masih kekurangan vitamin dan mineral tertentu, suplemen dapat membantu. Pengambilan vitamin dan mineral juga penting bukan sekadar atas sebab nutrisi susu, tetapi lebih daripada itu, ia dapat memastikan anda sentiasa dalam keadaan mood yang baik, sihat, cergas dan bertenaga selalu.
Sumber : Perpustakaan Negara
Dari meja pengarang : dalamcantik.com
Anda boleh menghantar soalan atau cadangan topik ke email dalamcantik@gmail.com (maklumat anda akan dirahsiakan).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)