Tuesday, 28 June 2011
Teknik Menyusukan Bayi
Bergelar seorang ibu merupakan saat yang dinantikan oleh setiap wanita, namun tempoh menyusukan bayi dengan susu badan memberi pelbagai kebaikan buat wanita. Menurut Pembantu Profesor Perubatan di Universiti of Pittsburgh,Amerika Syarikat, Elanor Bimla Schawarz, menyusukan bayi selama satu bulan atau lebih berupaya menurunkan risiko penyakit diabetes. Manakala penyusuan bayi selama enam bulan sepanjang jangka hayat seseoarang wanita itu (boeh dicampurkan jumlahnya dengan tempoh menyusukan bayi pertama, kedua,ketiga dan seterusnya) mampu menurunkan risiko diserang penyakit jantung dan strok.
Menurut pengkaji di Kaiser Permanente Northern California Amerika Syarikat, Erica P. Gunderson, seseoarang wanita itu hamil, lemak diperut secara automatik akan bertambah tetapi dapat diturunkan dengan cara menyusukan bayi menggunakan susu badan. Jumlah lemak dibahagian ini akan berkurangan dan hal ini secara tidak langsung dapat membantu menurunkan risiko penyakit jantung, diabetes dan strok. Menyusukan bayi juga dapat membantu mengecutkan rahim dan mencegah masalah pendarahan berlebihan selepas bersalin.
Ibu yang menghentikan penyusuan dan ingin kembali menyusukan anak perlu melalui proses yang dipanggil relaktasi. Walaupun ia merupakan sesuatu yang tidak mustahil untuk dilakukan namun para ibu perlu bersedia secara fizikal dan mental untuk mengharungi cabaran-cabarannya. Kejayaan ibu melakukan relaktasi sebenarnya bukan bergantung kepada pengambilan ubat atau produk tertentu tetapi usaha merangsang payudara dengan berkesan.
Penghasilan susu bergantung kepada kebolehan para ibu untuk kerap merangsang payudara supaya proses penghasilan susu dapat berlaku dengan lebih cepat dan optimal. Relaktasi perlu melalui dua proses.
1. Ibu akan mengajar (atau mengajar semula) bayi untuk menyusu menerusi payu dara.
2. Pada masa yang sama, ibu perlu memastikan bekalan susu di tahap optimum dengan melakukan rangsangan puting (melalui penyusuan bayi, pemerahan menggunakan tangan, pam atau gabungan kedua-duanya) dan mengeluarkan susu dengan efisyen (apabila susu sudah ada untuk dikeluarkan). Sesi penyusuan yang teratur dan kerap (biarpun bayi masih baru belajar) sangat membantu.
Biasanya bayi yang berusia 4 bulan ke bawah lebih mudah melalui proses relaktasi. Proses ini lebih mudah jika bekalan susu stabil sepanjang 4 – 6 minggu pertama tempoh berpantang. Namun, jika bayi lebih berusia dan puan belum berjaya menstabilkan penghasilan susu pada peringkat permulaan, percayalah puan masih boleh mendapat hasil yang diingini. Tanamkan dalam minda bahawa penyusuan susu ibu bukan sekadar untuk memberi susu. Anda akan mendapat pelbagai kelebihan lain daripada penyusuan susu ibu walaupun masih belum berjaya menghasilkan susu dalam jumlah yang banyak.
Jika bayi mahu melekap, susukan dia sekerap yang boleh (sekurang-kurangnya setiap 2 - 3 jam). Tawarkan dia payudara untuk mewujudkan keserasian pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai. Sama ada di akhir sesi penyusuan, apabila dia tidak lapar, hampir terlelap, baru bangun dari tidur atau pada bila-bila masa sahaja.
Apa yang perlu anda lakukan jika bayi tidak mahu melekap??? Giatkan usaha jika tidak berupaya memujuk bayi untuk melekap. Anda mempunyai alternatif lain untuk membina semula bekalan susu dengan mengepam dan memberi bayi susu ibu melalui botol atau cawan penyusuan. Pertimbangkan untuk memberi bayi susu ibu menggunakan kaedah penyusan alternatif (berbanding botol) seperti nursing supplementer, menggunakan jari, cawan penyusuan, sudu, penitis ubat dan sebagainya.
Jika bayi melekap dengan baik, nursing supplementer amat membantu. Ia akan menggalakkan bayi untuk menyusu di payudara dengan memberinya aliran susu (perahan susu ibu dan/atau susu formula) yang tetap sewaktu dia merangsang payu dara untuk menghasilkan lebih banyak susu.
Jika bayi tidak menyusu dengan betul (atau tidak melekap langsung), pengepaman akan memberi perubahan besar dalam meningkatkan penghasilan susu. Jika bayi menyusu dengan baik sekalipun, langkah pengepaman akan mempercepatkan proses relaktasi. Anda perlu mengepam sekurang-kurang 10 kali sehari untuk tempoh 10 - 15 minit setiap sesi.
Terdapat beberapa jenis herba yang boleh meningkatkan penghasilan susu. Contohnya halba, moringa dan blessed thistle. Herba-herba ini dan kaedah farmaseutik untuk merangsang penghasilan susu tidak semestinya efektif melainkan digabungkan dengan kekerapan menyusu dan mengepam payu dara.
Disarankan anda membuat temujanji untuk berjumpa dengan Perunding Laktasi (IBCLC) ataupun kaunselor laktasi yang berpengalaman membantu ibu melalui proses relaktasi supaya panduan dan tunjuk ajar menyeluruh dapat diberikan.
Secara am, menyusu bayi secara psilkologinya berupaya mengeratkan hubungan antara ibu dan bayi.
Sumber : Perpustakaan Negara
Dari meja pengarang : dalamcantik.com
Anda boleh menghantar soalan atau cadangan topik ke email dalamcantik@gmail.com (maklumat anda akan dirahsiakan).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)