Wednesday 12 October 2011

Berpesan - Pesan Untuk Kebaikkan

0 comments


 Manusia sekarang semakin amat mementingkan diri sendiri. Begitulah yang selalu kita dengar. Mungkin dakwaan ini ada benar tetapi mungkin ada yang kurang tepat dalam beberapa situasi tertentu. Namun secara keseluruhan, kita tidak dapat nafikan akan kebenaran situasi ini.

Amalan saling berpesan ke arah kebaikan semakin luntur selari dengan kemodenan yang melanda kita. Ia menjadi amalan yang semakin tidak popular. Kadang kala kita melihat kemungkaran di hadapan mata tetapi kita sengaja pejam mata dengan alasan tidak mahu campur hal orang lain. Kadang kala kita nampak anak gadis jiran berkelakuan tidak senonoh dengan lelaki yang kita tahu bukan mahramnya tetapi kita buat tidak peduli saja kerana itu bukan anak gadis kita. Atau kita melihat anak-anak muda jiran tetangga kita yang masih melepak sedangkan waktu itu sudah jelas masuk waktu solat, tetapi kita ambil sikap tidak peduli kerana tidak mahu bermasam muka dengan jiran tetangga.

Menegur orang dalam hal berkaitan urusan agama, selalu dianggap sebagai urusan yang amat berat. Apatah lagi jika sendiri pun bukanlah warak atau alim ulama yang pandai agama, kita lebih terasa tidak layak untuk berpesan-pesan dalam urusan yang satu itu. Hari ini, orang sudah tidak mahu berpesan-pesan ke arah kebaikan kerana menganggap urusan agama adalah sesuatu yang sensitif dan peribadi. Kadang kala apabila ada yang berpesan, yang satu lagi akan membalas, “Kau jaga kubur kau, aku jaga kubur aku.” Balasan dengan nada sombong dan bongkak ini menyebabkan kita jadi takut mahu bersuara apa-apa.

Kadang kala lagak orang yang memberikan pesanan juga tidak kurang juga menyakitkan hati. Mulutnya ingin berpesan, tetapi caranya bercakap dan bereaksi mungkin kelihatan canggung dan sudah-sudahnya menyakitkan hati orang yang mendengar. Malah itu juga mungkin punca sesuatu pesanan jadi tidak berkesan.
Berpesan-pesan atau saling mengingatkan sesama Muslim adalah sesuatu yang digalakkan agama. Pesanan dan peringatan yang dimaksudkan di sini adalah yang menjurus ke arah kebaikan dan menjauhi kemungkaran, dalam ruang lingkup kehidupan yang amat luas.

Amalan ini juga termasuk elemen kerjasama yang memang amat digalakkan dalam kehidupan bermasyarakat orang Islam. Kata seorang ulama; “Sekiranya setiap tentera lebah dan semut saling bekerjasama dan membantu, maka tidak munasabah pula bagi manusia yang Allah kurniakan kelebihan yang banyak berbanding makhluk lain, terkurang pula daripada dua kerajaan ini (lebah dan semut), mereka amat teristimewa dalam urusan kerjasama dan bermesyuarat sesama mereka.”

Amalan ini melambangkan keperibadian kita sendiri. Sebagai seorang Muslim, adakah kita orang yang prihatin dengan keadaan orang lain atau mementingkan diri sendiri? Inilah yang ditunjukkan melalui amalan berpesan-pesan dan saling memperingatkan ini. Amalan ini adalah keperluan dalam kehidupan bermasyarakat kerana masyarakat yang kuat adalah masyarakat yang saling membantu dan berbaik-baik sesama mereka. Yang lebih penting, betulkan niat kerana Allah kerana itulah yang lebih berkat dan dirahmati Allah.





Leave a Reply

Labels