Thursday, 12 January 2012

Pengantin Bertudung

0 comments


Semua wanita ingin kelihatan cantik setiap hari, lebih-lebih lagi apabila menjadi raja sehari. Jika dahulu, bakal pengantin perempuan yang bertudung akan menghadapi masalah dalam memilih pakaian yang sesuai untuk majlis pernikahan mahupun persandingan mereka.

Hal ini terjadi apabila kebanyakan kedai yang menjual atau menyewa baju-baju pengantin hanya untuk mereka yang tidak memakai tudung. Apa yang lebih menyedihkan apabila pengantin perempuan tersebut terpaksa menanggalkan tudung pada hari persandingannya. 

Untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku, ada pengantin yang terpaksa menempah sendiri pakaian perkahwinan mereka, kerana bertudung dan tidak mahu menanggalkannya pada hari bersejarah itu. Hal ini secara tidak langsung menyebabkan perbelanjaan perkahwinan mereka bertambah.

Kini, bertudung bukanlah lagi alasan untuk kelihatan tidak cantik pada hari persandingan anda. Anda akan tampak lebih manis, bergaya dan moden dengan pakaian perkahwinan anda. Seperti yang kita sedia maklum, kini terdapat banyak kedai-kedai andaman yang menawarkan pakaian pengantin bagi mereka yang bertudung, dalam pelbagai jenis kain, warna dan gaya.

Bagi wanita bertudung yang teringin hendak memakai mahkota di kepala, anda juga tidak akan kecewa dengan khidmat yang ditawarkan di kedai-kedai andaman. Anda hanya perlu memilih mahkota yang disukai dan sesuaikan dengan pakaian pengantin anda. Dengan adanya perunding imej di kedai andaman tersebut, tentunya anda akan berpuas hati dan sentiasa ceria di majlis persandingan anda.

Bagi mengelakkan ketidakselesaan, anda haruslah mencuba pakaian pengantin anda (bersama tudungnya) terlebih dahulu. Ini supaya anda tidak terasa janggal apabila memakai pakaian pengantin tersebut pada hari persandingan anda.

Percayalah anda akan tetap kelihatan cantik, manis dan bergaya apabila mengenakan tudung pada hari persandingan anda. Selamat mendirikan rumahtangga.




   

Leave a Reply

Labels