Tuesday, 17 April 2012

Wira Tunggal

0 comments


Sinopsis

FASA 1: SRI LAYANG, SENJATA INDERA KERAMAT, DAN KERABAT DIRAJA PAI

Permulaan komik Wira Tunggal menceritakan pemerintahan di Bumi yang dikuasai oleh dua puak utama iaitu Kerabat Diraja Putih dan Wuliang Infiniti. Kedua-dua pihak mengalami perang dalaman dan perang kuasa sesama pemimpin-pemimpinnya. Beberapa jaguh mula diperkenalkan beserta latar belakang mereka seperti Paichow, Tok Laut, Paus Gila, Puaka Mata Tiga, dan Harimau Kumbang.

Fasa ini memperkenalkan Sri Layang(atau kini dikenali sebagai Wunan Mulia) yang diburu oleh Kerabat Diraja Pai. Sri Layang dalam misi untuk mencari Senjata Indera Keramat, sebuah senjata yang diinovasikan oleh Zogun khas untuk Kerabat Diraja Pai mempelajari segala hikmat dan seni persilatan yang ada di dunia ini. Senjata Indera Keramat merupakan kegilaan jaguh-jaguh utama ketika itu kerana dipercayai seseorang jaguh dapat meningkatkan kekuatan dengan bertapa di dalamnya.

Pengembaraan Sri Layang memberi pengalaman luas kepadanya dan dia dapat kenal pelbagai puak yang ada di Bumi. Dalam perjalanannya, dia telah bertemu dengan Puaka Mata Tiga dan Harimau Kumbang, serta Tok Laut, dan Sri Layang telah diajar beberapa hikmat oleh mereka. Akhirnya dia berjaya menemui Senjata Indera Keramat dan teknologi Robot Germ, namun pada masa yang sama dia dikesan dan terpaksa menyerah diri kepada Kerabat Diraja Pai diketuai oleh Paichow yang baru sahaja melakukan pembunuhan beramai-ramai setelah menumpaskan Puaka Mata Tiga, Harimau Kumbang dan Tok Laut. Paichow ternyata merupakan Wira Tempur Nombor Satu Dunia dan tak lama kemudian dia mendapati Sri Layang yang ingin dibunuhnya itu rupa-rupanya adalah anaknya.

FASA 2: KRISIS RAKSASA RAJA-RAJA SYAITAN

Sri Layang kini dikenali sebagai (Pai)Wunan tinggal bersama ayahnya di kediaman Kerabat Diraja Pai. Dia mendapat tunjuk ajar Paichow dalam pelbagai hikmat dan perkara. Pada masa yang sama, dia menjalinkan persahabatan yang rapat dengan Harimau Kumbang sehingga mereka menjadi kawan baik. Beberapa konflik dan pertempuran timbul seperti biasa antara pemimpin-pemimpin puak. Jaguh-jaguh baru mula muncul seperti Maharaja Barat, Tornado dan Sang Asura. Namun, konflik sebenar yang melanda ialah apabila Bumi dilanda krisis serangan Raksasa Raja Syaitan.
Demi menyelamatkan Bumi, Wunan bergabung badan dengan Juara Tempur Pemusnah walaupun sedar akan risikonya. Wunan bertarung berhabis-habisan dengan Raksasa Raja Syaitan Sejati dan akhirnya berjaya menumpaskannya. Konflik itu belum berakhir, rupa-rupanya banyak bahan bertoksid telah ditinggalkan oleh Raksasa Raja Syaitan di Bumi yang akan mempengaruhi ekosistem Bumi. Maka buat kali kedua, Wunan melancarkan Juara Tempur Pemusnah untuk menyedut gas-gas beracun tersebut.

Krisis itu akhirnya tamat dan Wunan dianggap jaguh paling mulia di Bumi. Namun, akibat daripada melancarkan Juara Tempur Pemusnah dua kali, jangka hayat Wunan tak lama dan dia dijangka akan mati tak lama kemudian. Namun hasratnya yang terakhir, Wunan ingin menumpaskan Dewa Parang dalam pertempuran yang telah dijanjikannya 5 tahun sebelum itu.

Pengakhiran fasa ini memperkenalkan beberapa watak penting yang akan menjadi musuh utama Bumi iaitu Wunan Hitam dan Maharaja Sagia serta serangan Empayar Blue Dream. Maharaja Sagia sepatutnya berjaya menakluki Bumi setelah strateginya menjadi iaitu menyerang ketika jaguh-jaguh Bumi berpecah belah dan lemah, namun tindakan Wunan melancarkan Juara Tempur Pemusnah kali ketiga telah berjaya mengundurkan Maharaja Sagia serta  serangan Empayar Blue Dream buat seketika lama.

FASA 3: KRISIS EMPAYAR BLUE DREAM

Rupa-rupanya dendam Blue Dream pada Pendekar Laut(Pai Chueng Lang) 5000 tahun lepas masih belum padam. Sekian lama bersembunyi di angkasa, Maharaja Sagia mengetuai Empayar Blue Dream menyerang tentera-tentera Bumi untuk menakluki Bumi semula. Jaguh-jaguh yang dalam Empayar Blue Dream sememangnya hebat dan tidak boleh dipandang rendah oleh jaguh-jaguh Bumi seperti Maharaja Sagar, Jerung Gergasi, dan sebagainya. Tanpa diduga, Taipo telah mengkhianati Bumi dan menyertai Empayar Blue Dream dalam misi mereka untuk menakluk Bumi. Maharaja Sagia ternyata bijak apabila telah mengaturkan rancangan lengkap untuk melaksanakan misi tersebut. Dengan jangkaan masa dan strategi yang tepat, seorang demi seorang jaguh Bumi telah dibunuh oleh Maharaja Sagia.

Mujur Paichow akhirnya pulih dan kehadiran Wunan yang hidup semula, memberikan sedikit harapan kepada tentera Bumi. Namun apa yang tersurat sudah takdir, Empayar Blue Dream akhirnya menang dan berjaya menakluki Bumi. Maharaja Sagia kini mengetuai pentadbiran baru di Bumi. Meskipun begitu, jaguh-jaguh Bumi masih belum mati. Mereka bersembunyi di angkasa, menunggu Paichow dan jaguh-jaguh lain pulih dan Wunan Hitam mengetuai mereka untuk membalas dendam suatu hari nanti.

FASA 4: KRISIS WUNAN PART 1

Kemunculan Wunan Hitam sememangnya member impak kepada suasana di Bumi. Tanpa diduga, Wunan dengan bantuan kumpulan Raksasa Raja Syaitan, berjaya membina satu empayar setanding dengan Empayar Blue Dream di Bumi. Akhirnya para penduduk asal Bumi dapat kembali ke tanah air mereka dan sudah tentu, Wunan menjadi pemimpin nombor satu mereka. Hari demi hari Wunan semakin berkuasa di Bumi hinggalah dia menyedari penyakit misteri menyerangnya kembali. Dia perlu mennghisap roh mana-mana Kerabat Diraja Pai untuk terus hidup.

Wunan kemudiannya mengaturkan pertarungan terulung antara ayahnya, Paichow dengan Maharaja Sagia. Paichow berjaya menumpaskan Maharaja Sagia dan memperoleh kuasa 75 Petala Langit, menjadikannya jaguh terhebat ketika itu. Malangnya gelarannya itu tak lama apabila Wunan menangguk di air yang keruh. Dia membunuh ayahnya sendiri sejurus selepas pertarungan itu tamat dan menghisap roh ayahnya itu untuk meningkatkan kuasanya.

Bermula dari itu, Wunan menjadi orang yang paling berkuasa di Bumi. Wunan sedar pasti ada pakatan untuk menumpaskannya maka dia tidak berdiam diri dan dengan bijaksana, Wunan mengatur segala rancangan untuk terus menguasai Bumi. Malah, Wunan melakukan tindakan yang sangat bijak apabila bersekutu dengan Jerung Gergasi, menjadikannya orang kedua paling berkuasa di Bumi. Tak berapa lama kemudian, Wunan mengukuhkan lagi penguasaannya dengan mencipta gandingan Lima Pengawal Utama daripada manusia klon. Musuh-musuhnya seperti Sang Asura, Topeng Perak dan Harimau Kumbang menemui jalan buntu untuk menumpaskan musuh mereka itu. Fasa ini juga menyaksikan jaguh muda, Rimau Taring membesar dan berkembang menjadi semakin kuat.




Leave a Reply

Labels