Sunday 6 May 2012

City Miliki Keyakinan

0 comments

NEWCASTLE, United Kingdom - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menegaskan, kekalahan 2-3 kepada Manchester United pada pusingan ketiga Piala FA awal tahun ini menjadi kunci utama kebangkitan pasukan itu untuk memburu gelaran Liga Perdana England musim ini.

Meskipun berkongsi 83 mata, City kini mengungguli kedudukan teratas liga selepas mengatasi United dengan kelebihan jaringan ketika saingan musim ini berbaki dua perlawanan.

Namun, Mancini tidak mahu berbangga dengan kelebihan itu kerana City dijangka akan berdepan ujian yang getir apabila berkunjung ke Newcastle United malam ini.

Mancini berkata, aksi menentang Newcastle lebih sukar berbanding perlawanan terakhir menentang Queens Park Rangers (QPR) di laman sendiri minggu depan.

"Kami memiliki keyakinan dan saya yakin City akan memenangi gelaran pertama liga sejak tahun 1968.
"Perlawanan yang paling penting adalah ketika kami tewas 2-3 kepada United pada aksi Piala FA di gelanggang sendiri, Januari lalu. Kemenangan 6-1 selepas itu tidak berapa penting kerana ia merupakan perlawanan yang sangat mudah.

"Kami tewas kerana kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas 10 minit perlawanan bermula tetapi kami berjaya bangkit untuk bermain lebih baik dan memperoleh gol. 

"Meskipun United beraksi dengan 11 pemain, mereka tidak mengambil peluang untuk melakukan serangan pada separuh masa kedua. Ia telah mengubah mentaliti kami ketika menentang mereka," kata Mancini.
Selepas menang 6-1 di Old Trafford pada Oktober lalu, City melengkapkan saingan liga dengan kemenangan 1-0 ke atas United di Stadium Etihad, Selasa lalu.

Namun, aksi menentang Newcastle malam ini dijangka menjadi satu perlawanan yang sukar.
Ini kerana, skuad bimbingan Alan Pardew akan tampil dengan semangat juang yang tinggi dalam misi memburu kedudukan di tangga ketiga, sekali gus menempah slot automatik ke kempen Liga Juara-Juara musim depan. - AFP




Leave a Reply

Labels