Sunday 6 May 2012

Malaysia benam ego Korea Selatan

0 comments

MALAYSIA sudah melangkah ‘sebelah kaki’ ke saingan separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Remaja Lelaki Asia 2012 selepas menewaskan pencabar utama, Korea Selatan 6-3 dalam saingan Kumpulan A di Stadium MBMB, Bukit Serindit malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Malaysia kini mengumpul enam mata maksimum dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan terakhir menentang Jepun esok bagi mengesahkan slot ke separuh akhir.

Pada aksi malam tadi, Korea Selatan bermula garang apabila menguasai lima minit pertama perlawanan dengan serangan bertali arus, namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Faizal Saari hasil pukulan sudut penalti pada minit keenam.

Gol pembukaan itu ternyata membakar semangat barisan pemain negara sebelum Mohamad Syamin Mohd. Yusof menambah gol kedua menerusi gol padang pada minit ke-13.

Kapten Korea Selatan, Yang Jihun berjaya merapatkan jurang gol apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-22.

Babak kedua bermula dengan kedua-dua pasukan saling membalas serangan, namun Malaysia terlebih dahulu merobek gawang lawan menerusi gol padang Amir Farid Ahmad Fuzi pada minit ke-41.

Malaysia melebarkan jurang gol tiga minit kemudian apabila Faizal tenang menyempurnakan pukulan penalti.
Kelekaan benteng pertahanan Malaysia membolehkan Korea Selatan memperoleh gol kedua pada minit ke-47 apabila pukulan deras Yeongseok Jeong gagal dihalang penjaga gol, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri.

Malaysia kembali selesa di hadapan apabila Faizal menjaringkan gol kelima menerusi pukulan cantik pada minit ke-56 sebelum Yang Jihun sekali lagi menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk gol ketiga Korea.
Kapten Malaysia, Muhamamd Noor Faeez Ibrahim menceriakan kira-kira 2,000 penonton yang membanjiri stadium apabila menjaringkan gol keenam menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-67.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Jepun menghidupkan peluang ke separuh akhir apabila mengalahkan Iran 3-1.




Leave a Reply

Labels