Sunday 6 May 2012
Kelantan Dalam Kelas Tersendiri
PENGENDALI Kelantan, Bojan Hodak tidak mahu mendabik dada biarpun
skuad kendaliannya berjaya menjinakkan pendahulu Liga Super, Lions XII
3-0 malam kelmarin.
Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri di Stadium Sultan
Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan jelas sekali berada dalam kelas
tersendiri bagi membenam wakil Singapura itu.
Selepas gagal memecahkan kebuntuan gol pada babak pertama, Kelantan
seakan-akan mendapat aura sebaik memulakan saingan pada babak kedua.
Hasilnya, tiga gol diperoleh skuad The Red Warriors itu dalam tempoh 20 minit terakhir perlawanan.
S. Chanturu membuka tirai jaringan Kelantan pada minit ke-73, sebelum
Norfarhan Muhammad menyumbang gol kedua empat minit kemudian.
Tonggak pertahanan, Rizal Fahmi Rosid melengkapkan malam gemilang Kelantan apabila meledak gol ketiga pada minit ke-85.
“Siapa pemain terbaik malam ini? Ia suatu yang sukar. Pemain
pertahanan begitu cemerlang, Shakir (Shaari) melakukan kerja dengan
baik. Mungkin Farhan dan Chanturu lebih layak untuk dikatakan pemain
yang beraksi dengan cemerlang.
“Bagaimanapun, saya tidak fikir tiga mata yang dipungut malam ini
(malam kelmarin) membolehkan kami dilabel sebagai pasukan pilihan untuk
bergelar juara.
“Namun dalam masa yang sama, kemenangan ini meletakkan kami di
landasan yang betul untuk tujuan itu,” kata Hodak ketika ditemui selepas
perlawanan malam kelmarin.
Hodak berkata, anak-anak buahnya berjaya mengambil kesempatan untuk
memburu gol selepas menyedari barisan Lions XII agak keletihan.
“Setiap pasukan dalam dunia hanya boleh bermain selama 60 minit
dengan kecergasan yang maksimum dan 30 minit terakhir mereka akan mula
hilang fokus, letih dan melakukan kesilapan.
“Ketika 20 minit terakhir, saya lihat pemain Lions XII banyak memberi
ruang kepada pemain saya dan akhirnya kami berjaya memanfaatkan situasi
tersebut dengan tiga gol yang cukup penting,” ujarnya.
Pada aksi malam kelmarin, Kelantan tidak menurunkan tiga tonggak
utama iaitu Muhammad Ghaddar, Zairul Fitree Ishak dan Daudsu Jamaluddin.
Ghaddar dan Zairul Fitree digantung satu perlawanan kerana mengumpul
tiga kad kuning manakala Daudsu masih menjalani penggantungan kerana
mengutip kad merah.
“Saya tidak melakukan rombakan besar malam ini (malam kelmarin), cuma
memasukkan beberapa pemain yang saya fikir mampu menggalas tugas yang
diberikan,” jelasnya.
Dengan kemenangan itu, Kelantan mengumpul 34 mata, ketinggalan dua
mata di belakang Lions XII yang beraksi lebih tiga perlawanan berbanding
The Red Warriors.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)