Wednesday 23 May 2012

MENANAM URI

0 comments



MENANAM URI 

BAGI mereka yang baru saja bergelar ayah, selain gementar ketika kali pertama melaungkan azan atau iqamat di telinga bayi, 
pastinya perasaan itu lebih bertambah tatkala menerima bungkusan daripada jururawat yang di dalamnya terkandung uri bayi.

Pasti mereka tertanya-tanya bagaimana menguruskan uri kerana sebelum ini tidak pernah diberitahu mengenainya. 
Ada yang mengambil jalan mudah dengan menyerahkan kepada ibu, nenek atau bidan kampung untuk dibersihkan dan ditanam dengan alasan tidak tahan melihat darah atau jijik
untuk membasuhnya. 

Ramai ibu bapa membuat persediaan menyambut kelahiran bayi dengan menyediakan pelbagai kelengkapan tetapi terlupa mendapatkan maklumat mengenai cara menguruskan uri mengikut syariat Islam sebenar.
Oleh itu muncullah pelbagai cara yang menjadi amalan di kalangan masyarakat Melayu, 
seperti uri yang ditanam bersama pelbagai benda seperti jarum, paku dan kain batik berfungsi untuk melindungi bayi.
Malah di sesetengah kawasan penanaman uri dipasang lilin pada waktu malam selama tujuh malam bagi mengelak kejadian pelik menimpa bayi.

Mengikut kepercayaan masyarakat zaman dulu, uri haruslah dibasuh bersih sehingga tiada darah tertinggal. 
Kemudian tempurung kelapa yang dicuci luar dan dalam dijadikan bekas mengisi uri ini. 
Tempurung berisi uri perlu dibungkus dengan kain putih dan diletakkan di dalam lubang yang digali di halaman rumah.
Sebelum lubang dikambus, paku, jarum dan asam keping yang diikat bersama ditanam sekali. 
Barangan ini adalah simbolik melindungi uri daripada dihurung ulat di dalam tanah. 
Tidak habis di situ, tradisi diteruskan dengan menghidupkan bara api di permukaan tanah tempat uri ditanam kerana dipercayai mampu mengelak bayi mengalami 
kembung perut dan menangis sepanjang malam. 
Mereka percaya uri yang ditanam mempunyai ‘hubungan’ dengan kehidupan bayi yang baru lahir. 
Selain itu, uri akan dibungkus menggunakan sarung bantal terpakai dan sebatang paku bagi mengurangkan masalah bayi menangis malam.

Menurut Pengarah Urusan ANP Solutions, Ade Azreena Mahadi, secara saintifik uri atau plasenta adalah ‘sarung’ yang terbentuk di dalam rahim ketika kehamilan 
dan bersambung dengan bayi menerusi tali pusat agar janin mendapat oksigen dan makanan daripada ibunya. 
Oleh kerana ia sebahagian daripada tempat bayi maka ia bersih dan perlu diperlakukan dengan baik seperti ditanam dan tidak ditinggalkan merata-rata bagi 
mengelak dimakan anjing atau binatang lain.

Uri adalah darah lendir yang keluar ketika melahirkan anak. Justeru bagi memudahkan cucian, garam dan asam jawa boleh digunakan. 
Selepas itu barulah dibalut menggunakan kain putih dan dimasukkan di dalam bekas sebelum ditanam. 
Bagi yang geli memegangnya, mereka boleh menggunakan sarung tangan.

Walaupun terdapat pelbagai amalan ketika menanam uri, sebenarnya ia lebih kepada kepercayaan yang menjadi amalan sejak turun temurun. 
Namun sekiranya amalan berkenaan boleh memesongkan akidah ia adalah haram. 

Jika kita benar-benar percaya bahawa kita kena tanam uri dengan bahan tertentu supaya anak tidak berkudis, mengelak daripada menangis malam dan sawan, 
keadaan itu jelas bertentangan dengan syarak dan boleh membawa kepada khurafat. 

Misalnya, ada juga yang percaya sekiranya uri ditanam bersama jarum atau paku, ia boleh mengelak daripada gangguan makhluk halus. 
Ini jelas salah dan berdosa kerana kita dilarang terus daripada percaya selain Allah. 
Tiada doa khusus dibacakan ketika menanam uri cukup sekadar membaca Bismillah dan selawat ke atas Nabi Muham?mad saw. 
Jika ada yang berkata cara menanam uri ada kaitan dengan perilaku anak, ini tidak benar. 

Sebenarnya bagi mendapatkan anak soleh dan solehah, pasangan ibu bapa harus memainkan peranan. 
Mereka berdua haruslah menjaga kelakuan, makanan dan minuman anak-anak serta memastikan halal, bukannya di mana dan bagaimana uri ditanam.

Leave a Reply

Labels