Cempedak tergolong dalam famili Moraceae dan berkait rapat dengan nangka (Artocarpus heterophyllus), bangkung (A. cempeden var. sylvistris) dan terap (Artocarpus odoratissimus). Seperti spesies lain dalam famili Moraceae, keseluruhan pokok cempedak bergetah putih. Kanopinya mencapai 15 m tinggi dan bercabang banyak. Walau bagaimanapun, pokok cempedak yang dicantum mempunyai kanopi yang lebih kecil, padat berbentuk bulat dan bercabang rendah. Daun, tunas dan jambak bunga diselaputi bulu berwarna perang yang agak panjang.
Daunnya jenis mudah, berwarna hijau tua, kekelabuan dan tidak berkilat. Jambak bunga betina berbentuk silinder dan dikeluarkan di batang utama dan dahan. Jambak bunga jantan lebih kecil, iaitu kira-kira 5 cm panjang. Warnanya hijau pucat atau kekuningan dan dikeluarkan di hujung ranting.
Pokok cempedak berbuah mengikut musim. Walau bagaimanapun, buah cempedak boleh didapati hampir sepanjang tahun di kawasan yang berlainan. Kemuncak pengeluaran buah ialah pada bulan Jun hingga Ogos dan November hingga Disember . Tanaman ini dibiakkan dengan cantuman mata tunas. Pokok cantuman berbuah awal, iaitu 3-4 tahun selepas ditanam.



































