Monday, 30 July 2012

Ganjaran Orang Bertaqwa

0 comments




DAN (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa, yang mendermakan hayatnya dengan tujuan membersihkan dirinya dan harta bendanya. (Al-Lail : 17-18)

                  Huraian:

Manusia dicipta oleh Allah s.w.t. dengan pelbagai tabiat, kecenderungan, minat dan pandangan yang berbeza antara satu dengan yang lain. Begitu juga dengan amal usaha mereka di mana sebahagian daripadanya banyak melakukan kebaikan dan amal soleh. Mereka juga berusaha meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dari masa ke masa.

Sedangkan sebahagian lagi suka membuat perkara-perkara mungkar yang membawa kepada kerosakan dan kehancuran akibat terlalu mengikut nafsu dan perasaan. Amat beruntung mereka yang tinggi tingkat keimanan dan ketaqwaannya kepada Allah kerana balasan dan ganjaran yang dijanjikan adalah syurga yang kekal abadi.

Di samping itu, mereka juga merasa nikmat ketenangan jiwa dan kelapangan dada dalam kehidupan di dunia lagi. Sikap pemurah yang ditunjukkan dalam membelanjakan harta ke jalan Allah dilakukan dengan penuh ikhlas, tanpa paksaan dan tidak mengharapkan balasan.

            Dengan mengeluarkan sedekah, derma dan zakat kepada orang yang layak dapat membersihkan diri daripada perasaan takbur, sombong, bermegah-megah dan riak, di samping akan menyucikan dan menyuburkan lagi harta benda mereka tanpa disedari.

Cara ini juga dapat membangunkan sosio-ekonomi umat Islam seterusnya melahirkan persekitaran yang harmoni dan tenteram.

            Firman Allah s.w.t. dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud:

Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk).

            Kesimpulan:
           
Orang Islam digalakkan bersedekah dan saling tolong menolong agar pengagihan harta kekayaan dapat dibahagikan dengan saksama, seterusnya merangsang perkembangan ekonomi masyarakat Islam.

Di samping itu mereka yang bertaqwa dan beramal soleh akan mendapat ganjaran setimpal dan dijauhkan daripada seksaan api neraka. Sedangkan mereka yang berbuat sebaliknya mendapat balasan pedih di akhirat.

            * Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Leave a Reply

Labels