Monday, 23 July 2012
Golongan Wanita Menolak Perkahwinan (Bahagian 2)
Amat mudah bagi kaum wanita untuk mendapat maqam solehah dan menjadi ahli
syurga di akhirat.
Ini berdasarkan sabda Rasulullah:
"Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu
sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada
suami maka masuklah syurga mana-mana
yang ia kehendaki."
Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai
kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang,
berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat
kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi
segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah pun bergantung
kepada redha suami.
Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia
akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah (berjuang di jalan Allah)
di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan
diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala
seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang
api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita
yang mencuci pakaian suaminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa.
Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus
hal-hal berkaitan anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah saw di
syurga kelak. Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat
pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat
pahala seperti pahala syahid.
Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang
menolak perkahwinan. Malahan kedudukan mereka di dunia akan selalu berada di
dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita
dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang
dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut
telah berkahwin.
Sabda Rasulullah saw: "Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama
dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan.
Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau ia telah berkahwin?"
Jawab baginda, "Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali)."
Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah
untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita
hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah
memperolehi pahala yang banyak. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang
isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak
akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah
menolak untuk menjadi calon wanita solehah yang berada di bawah naungan suami.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


































