KELEBIHAN MEMBELI SECARA ONLINE
Seiring dengan kemajuan teknologi serba canggih pada abad ini, ramai orang memilih untuk membuat pembelian secara online. Ini kerana, ianya merupakan cara mudah untuk membeli sesuatu barangan tanpa perlu beratur panjang atau bersesak-sesak di pusat membeli belah.
Hanya menggunakan internet, segala-galanya menjadi mudah di hujung jari anda. Golongan wanita kebiasaanya gemar memonopoli pembelian secara online ini. Kini, di negara kita juga sudah banyak melahirkan peniaga yang beroperasi secara online ini.
Pembelian secara online adalah satu cara untuk membeli dengan mudah dan pantas. Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang mendapat barangan edisi terhad atau yang tidak dijual di negara ini. Selain itu, harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding harga yang terdapat di pasaran.
Antara lain-lain kelebihan membeli secara online ini adalah anda berpeluang membeli pada bila-bila masa tidak kira siang mahupun malam. Anda juga tidak perlu berpusing-pusing mencari tempat letak kereta, mengelilingi kompleks beli belah untuk mencari barang. Jelaslah di sini, anda telah berjaya menjimatkan masa dan tenaga anda.
KEKURANGAN MEMBELI SECARA ONLINE
Bila ada kelebihan pastinya ada kekurangan. Antara kekurangan membeli barang di alam maya ini, anda terpaksa menunggu lama untuk memiliki barangan yang dibeli. Mungkin produk itu telah kehabisan stok atau mungkin produk itu dari luar negara.
Tidak mustahil juga anda tertipu. Dalam dunia yang serba mencabar kini, ada segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual barangan yang tidak berkualiti. Jadi, anda perlu berhati-hati agar tidak terpedaya.
Selain itu, anda juga tidak dapat mencuba terlebih dahulu barangan yang diberi secara online. Seperti pakaian contohnya, mungkin apabila anda melihat di dalam internet ianya nampak besar, tetapi setelah diterima ianya kecil. Jadi, anda tidak dapat memulangkan semula barang tersebut.
Untuk itu, terdapat beberapa tips berguna untuk mereka yang gemar membeli secara online.
1) Setelah membuat pembayaran, jangan lupa untuk mencetak dan menyimpan setiap dokumen yang berkaitan dengan pembelian anda. Ini boleh menjadi rujukan jika berlaku masalah ketika proses penghantaran.
2) Kad kredit adalah paling mudah dan selamat. Bagaimanapun jangan sesekali mendedahkan nombor pin keselamatan untuk mengelakkan identiti anda dicuri.
3) Pastikan anda mempunyai maklumat terperinci tentang penjual tersebut.
Jadi, berbelanjalah dengan bijak melalui pembelian secara online tidak kira siang mahupun malam. :-)
