Sunday, 12 May 2013
Ketam Nipah dan Udang Kara Tarikan Baru ke Terengganu
Ketam Nipah dan Udang Kara Tarikan Baru ke Terengganu
Makanan berasaskan ketam nipah, udang kara dan udang ketok melalui pendekatan kreatif para pengusaha restoran boleh menjadi sajian unik yang memikat pelancong sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT 2013).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, langkah itu dapat mempelbagaikan daya tarikan berasaskan makanan dan turut membantu mengembangkan perniagaan mereka.
Sehubungan itu, jelas beliau, kerajaan negeri melalui Bahagian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan giat mempromosi makanan unik Terengganu dengan mengetengahkan restoran atau kedai makan yang menyediakan hidangan sedemikian.
”Tidak ramai yang pernah merasai keenakan ketam nipah. Lazimnya, ketam nipah ini hidup di kawasan paya bakau kerana sumber makanannya banyak terdapat di situ.
“Sementara itu, udang kara dan udang ketok pula boleh ditemui di sepanjang perairan khususnya laut di negeri ini yang terkenal dengan terumbu karang serta airnya yang masih lagi belum tercemar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas pertandingan memasak ketam nipah, udang kara dan udang ketok sempena Pesta Hidangan Terengganu di Kedai Maggi Ketam Kubang Jela, Manir di sini semalam.
Sebanyak 10 kumpulan yang terdiri daripada dua peserta bagi setiap kumpulan mengambil bahagian dalam pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM5,000 itu.
Selain itu, tukang masak profesional juga mengadakan demonstrasi masakan hidangan yang cukup istimewa di mana rasa keenakan udang kara dan ketam nipah dalam pelbagai hidangan.
Terdahulu, seramai 20 peserta mengambil bahagian dalam acara ‘bito ketam’ atau pertandingan menangkap ketam yang diadakan di sungai berhampiran Kompleks Kraf Tuanku Nur Zahirah di Tanjung Bunut dekat sini.
Dalam pada itu, Abdul Rahin memberitahu, pengenalan produk makanan unik itu yang turut sesuai dalam sajian sup atau gulai boleh diperkenalkan melalui langkah memperkenalkan satu daerah satu produk makanan.
“Melalui program yang dibuat ini, secara tidak langsung, kawasan ini akan dikenali dengan ketam nipah serta udangnya yang terdapat di sini.
“Sebelum ini, beberapa kawasan di daerah Besut dan Kemaman dikenali dengan penghasilan otak-otak dan satar,” ujarnya.
Sumber : Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



































