5 Kesalahan Biasa Yang Kerap Berulang
Bersenam merupakan salah satu cara untuk menguruskan badan dan meningkatkan kesihatan. Ramai yang telah sedar akan kebaikan dan kepentingan bersenam untuk tubuh badan. Tetapi masih ada antara kita yang melakukan kesalahan-kesalahan kecil yang boleh melumpuhkan keberkesanan senaman itu sendiri. Cuba elakkan daripada melakukan lima perkara ini dalam memperoleh keberkesanan senaman. Senaman baik untuk tubuh badan tetapi jika kita salah konsep ia boleh membinasakan badan.
1. Bersenam dengan perut kosong
Apabila anda bersenam dengan perut kosong, ianya agak mustahil untuk tubuh anda membakar lemak dengan baik. Ini adalah kerana karbohidrat diperlukan ketika proses pembakaran lemak. Sekiranya tiada bekalan karbohidrat, otot anda akan bekerja sendiri ketika proses tersebut, dan akan menyebabkan kerosakan pada otot.
2. Tidak memanaskan badan
Ramai yang mengambil mudah terhadap perkara ini. Sedangkan memanaskan badan adalah perkara yang amat penting untuk mengelakkan kecederaan otot-otot anda. Luangkan sekurangkurangnya lima minit untuk memanaskan badan sebelum anda melakukan apa-apa senaman.
3. Tidak konsisten
Untuk mendapatkan sesuatu hasil daripada senaman yang dilakukan, ia perlu dilakukan dengan konsisten. Ramai yang menganggap senaman boleh dilakukan apabila dirasakan perlu sahaja, sedangkan ia memerlukan penjadualan yang khas untuk anda melakukannya.
4. Tidak menjaga pemakanan
Ada pendapat mengatakan bahawa apabila anda sudah melakukan senaman, anda bebas untuk memakan apa sahaja. Ia sememangnya tidak benar. Penjagaan pemakanan adalah penting untuk mengekalkan kesihatan dan bentuk tubuh badan anda.
5. Tidak dilakukan secara berperingkat
Senaman adalah suatu proses dan anda tidak boleh memaksa otot anda daripada melakukan suatu yang di luar kemampuan secara mengejut. Lakukannya secara berperingkat dan cuba untuk memperbaikinya dari semasa ke semasa.