Friday, 4 May 2012
Artis gegar Pesta Air Malaysia
PESTA Air Malaysia merupakan salah satu acara tahunan yang cukup
sinonim dengan pantai Port Dickson. Pada tahun ini, acara anjuran
Pejabat Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan yang turut disokong oleh
kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port
Dickson (MPPD) itu berlangsung bermula pada hari ini, 4 Mei sehingga
Ahad, 6 Mei.
Pembuka gelanggang kemeriahan acara tersebut dicetuskan oleh sebuah
konsert yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9 malam ini (4 Mei) di
Pantai Cahaya Negeri, Batu 4, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Konsert yang dijangka meriah itu menampilkan para artis terkenal antaranya Elly Mazlein, Jinbara, Faradhiya dan Roslan Shah.
Faradhiya yang bakal mengalunkan lagu popularnya, Bertakhta di Hati
serta dua buah lagu lain meluahkan keterujaannya untuk muncul dalam
konsert tersebut.
"Kemunculan saya pada konsert sempena Pesta Air Malaysia di pusat
peranginan terkenal Port Dickson kali ini membuktikan saya masih aktif,"
ujarnya yang sudah lama tidak muncul dengan cerita baharu.
Sementara Elly Mazlein pula mengakui dirinya berbangga kerana turut terpilih untuk menghiburkan peminat di Port Dickson.
"Saya berasa teruja dan berbangga terpilih bersama barisan artis
terkenal yang lain untuk konsert ini. Saya pasti akan menampilkan
persembahan yang menghiburkan khusus buat penonton konsert ini,"
tuturnya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia
Cawangan Negeri Sembilan , Daing Muhamad Rahimi Abdul Hamid berkata,
pihaknya menjangka sambutan orang ramai untuk datang ke Port Dickson
lebih ramai berbanding tahun lalu.
"Pada tahun ini sambutan orang ramai dijangka memberangsangkan
tambahan dengan adanya konsert yang menampilkan artis-artis terkenal
pada malam ini," ujarnya.
Sementara itu, Pesta Air Malaysia kali ini akan dirasmikan oleh
Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Dr. James Dawos Mamit pada Sabtu, 5
Mei ini.
Pesta Air Malaysia kali ini dimeriahkan 20 acara sukan air yang dipertandingkan sepanjang tempoh tersebut.
Sejumlah RM70,000 ditawarkan dalam pelbagai acara yang disediakan
termasuklah Karnival Pancing Port Dickson, sukaneka pantai dan Battle Of
The Band.
Acara lain termasuklah PD Paintball Beach Challenge, PD International Jet Ski Challenge, PD Night Beach Run dan gerai jualan. -sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



































