
Saturday, 19 May 2012
Bekas Pelakon Hollywood Hadir Seminar Dakwah Di Malaysia
Bekas pelakon filem Hollywood, Myriam Francois-Cerrah atau Emilie
Francois yang telah memeluk Islam pada tahun 2003 akan muncul di negara
ini sempena Seminar Wanita Antarabangsa anjuran Mercy Mission Malaysia.
Ia akan diadakan pada 30 Jun depan di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Menurut pelakon dan pengacara Wardina Safiyyah, kemunculan Myriam adalah untuk berdialog dalam seminar yang diberi nama Being Me, bertujuan untuk memperkasakan wanita Muslimah di Malaysia.
"Myriam sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang doktor falsafah di
universiti Oxford dan banyak mengadakan dialog mengenai Islam di pentas
antarabangsa seperti dalam program BBC Big Question bersama Dame Ann Leslie, Beverly Knight, Rev. Peter Owen-Jones dan sebagainya.
"Kesempatan saya bertemu dengannya baru-baru ini ketika dijemput oleh
Persatuan Mahasiswa Malaysia di United Kingdom telah membuka peluang
untuk kerjasama ini.
"Ia juga diadakan bagi memberi inspirasi, ilmu dan keyakinan kepada
wanita untuk terus mencari kekuatan dan potensi sebenar agar diri
disayangi Allah selain berperanan sebagai isteri, ibu, anak, dan
anggota masyarakat yang aktif.
“Kedatangan Myriam juga adalah salah satu dakwah yang seharusnya
mendapat sokongan semua pihak kerana beliau akan berkongsi banyak
pengalaman," katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.
Myriam pernah berlakon seawal usia 12 tahun terlibat dalam filem arahan Ang Lee iaitu Sense And Sensibility pada tahun 1995 di samping Emma Thompson dan Kate Winslet .
Selain filem tersebut, beliau juga pernah membintangi beberapa filem Hollywood seperti Paws (1997) bersama Nathan Cavaleri dan Heath Ledger selain New Year's Day pada tahun 2000.
Beliau mula jatuh cinta dengan Islam semasa membuat pelbagai kajian mengenai agama itu.
Selain wanita tersebut, antara speaker lain yang akan turut sama
dalam program satu hari itu adalah penulis terkenal dari Amerika
Syarikat, Yasmin Mogahed, Raya Shokatfard, Sheikh Tawfique Chowdhury dan
Syakh Yahya Ibrahim dari Australia.
Manakala Dr. Fadila Grine dari Canada dan Dr. Sofia (Malaysia) akan
mengendalikan bengkel mengenai pendidikan anak mengikut Al-quran dan
Sunnah.
Dalam pada itu, Wardina berkata, selain seminar, antara aktiviti
lain yang diadakan pada acara tersebut antaranya pertunjukan fesyen,
bazar, anugerah Muslimah, program “Daddy and Me”
Program tersebut turut mendapat perhatian daripada ramai selebriti
tempatan dalam sebuah pertunjukan fesyen iaitu “I Am Me” melibatkan
Daphnee Iking, Sharifah Sofea, Sasha Saidin, Liyana Hisham dan Heliza
Helmi.
Kepada yang berminat untuk menyertai program ini dan berjumpa sendiri
dengan Myriam boleh membuat tempahan tiket menerusi laman web www.being-me.org.

Subscribe to:
Post Comments (Atom)