Friday 4 May 2012
Fasha Enggan Komen Perkahwinan Tidak Mendapat Restu
Pelakon Fasha Sandha yang baru mendirikan rumah tangga dengan Rizal
Ashram Ramli (Jejai) enggan mengulas dakwaan kononnya perkahwinan beliau
dengan anak bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Ramli Ngah Talib itu
tidak mendapat restu.
Fasha berkata, dia kini bahagia selepas seminggu bergelar isteri dan
bersyukur kepada Allah kerana telah memberikannya seorang suami yang
baik.
"Maaf saya tidak mahu mengulas mengenai perkara itu," ujarnya ringkas kepada mStar Online ketika ditemui di Sri Pentas semasa pelancaran drama bersiri Seindah Sakura di sini pada Khamis.
Fasha dan Jejai selamat bernikah dalam satu majlis sederhana pada 27 April lalu di Hotel Crowne Plaza Mutiara di sini.
Pada upacara akad nikah yang dihadiri kira-kira 250 tetamu itu, wakil
keluarga Jejai yang kelihatan hanyalah bapanya sahaja sebaliknya ibu
beliau iaitu Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah tidak berada pada
majlis tersebut.
Situasi tersebut menimbulkan spekulasi kononnya keluarga lelaki tidak merestui perkahwinan berkenaan.
Dalam pada itu, bercakap mengenai kehidupannya sebagai isteri, Fasha
berkata, dia masih belajar bagaimana ingin menjadi seorang isteri yang
baik namun memberitahu sedang meniti hari bahagia.
Tambah Fasha, tidak sukar untuk menambat hati Jejai kerana suaminya itu adalah seorang yang ringkas dan tidak cerewet.
"Mungkin kami telah berkawan lama sebelum berkahwin jadi senang untuk
memahami sikap dan kehendaknya. Bagaimanapun saya masih belajar untuk
menjadi seorang isteri," ujarnya.
Sementara itu, Fasha berkata dia dan Jejai akan berangkat ke Pulau
Redang, Terengganu pada minggu hadapan bagi meraikan bulan madu. -mStarOnline
Subscribe to:
Post Comments (Atom)