Friday 4 May 2012
Remy Kurus Bukan Kerana Masalah Cinta Dengan Tiz Zaqyah
KUALA LUMPUR: Pelakon Remy Ishak menegaskan perubahan drastik
pada fizikalnya sejak kebelakangan ini bukan berpunca daripada masalah
hubungan cinta dengan aktres Tiz Zaqyah.
Menurut pemilik nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak, 30, tubuh
badannya yang sasa sebelum ini menjadi semakin susut kerana komitmen
sebagai watak komando dalam filem terbaru Bravo 5.
“Hubungan saya dan Tiz berjalan lancar dan tiada sebarang masalah.
Kalau ada hal pun, perkara remeh-temeh yang biasa dihadapi oleh pasangan
bercinta.
“Badan saya semakin susut demi menjayakan watak komando dalam filem Bravo 5,” jelasnya ketika ditemui mStar Online selepas pelancaran treler filem 29 Februari di GSC Pavilion Bukit Bintang, di sini, Khamis.
Remy berkata, perubahan fizikal itu adalah bagi membolehkan dia melakonkan watak Leftenan Azri dalam Bravo 5 itu dengan selesa dan lancar.
Katanya, sepanjang seminggu menjalani latihan di Kem Sungai Udang,
Melaka, sebelum ini dia melihat majoriti anggota tentera memiliki susuk
tubuh yang kecil tetapi lincah.
“Bravo 5 adalah filem epik peperangan mengenai perjuangan
askar Melayu dalam menentang kemaraan Komunis. Secara tidak langsung,
saya perlu cergas dan lebih berstamina seperti tentera sebenar.
“Ia menuntut komitmen yang tinggi termasuk kekuatan mental dan fizikal seperti meredah hutan, mengangkat senjata dan aksi lasak.
"Sebab itu saya mengambil inisiatif sendiri untuk mengecilkan tubuh
badan agar lebih ringan dan lincah ketika penggambaran,” terangnya yang
sedang menjalani penggambaran filem arahan Yeop Hitler itu.
Beralih kepada pembabitannya dalam 29 Februari arahan Edry
Abdul Halim itu, Remy berkata watak sebagai Budi sangat mencabar kerana
menuntut permainan emosi dalaman dan luaran.
“Watak Budi ini mengalami perubahan usia mengikut peralihan pelbagai era dan detik-detik bersejarah.
"Saya perlu memaparkan permainan emosi dalaman yang berbeza-beza pada
setiap perubahan usia Budi. Ia sangat mencabar tetapi saya suka pada
penceritaan dan konsep filem ini,” katanya. -mStarOnline
Subscribe to:
Post Comments (Atom)