Friday, 18 May 2012

Program Perintis Nissan LEAF

0 comments

MENJELANG tahun 2020, jalan raya di Malaysia dijangka dihuni oleh 10 hingga 15 peratus kenderaan elektrik atau EV. Tidak mengeluarkan sebarang emisi karbon dioksida (CO2), EV dilihat sebagai mode mobiliti masa depan yang lebih mesra alam berbanding kenderaan-kenderaan lain termasuklah hibrid. 

Kalau diikutkan, kenderaan yang digerakkan oleh motor elektrik bukanlah baru. Inovasi itu sudah wujud sekitar tahun 1900 lagi. Namun, disebabkan oleh isu bateri mahal, perlahan, berat dan jarak yang mampu dicapainya tidak jauh, idea itu digantikan dengan enjin pembakaran dalaman menggunakan bahan api petrol atau diesel. 

Kini, idea itu kembali dikutip bersama pelbagai teknologi tercanggih. Situasi itu terbukti apabila kebanyakan pengeluar kenderaan di dunia, sama ada berskala kecil atau besar kembali ligat membina jentera EV masing-masing. 

Dalam banyak-banyak pengeluar, cuma Nissan yang menghasilkan EV secara massa. Diberi nama LEAF, EV itu mendapat sambutan memberangsangkan sebaik sahaja ia diperkenalkan ke pasaran pada Disember 2010. Sehingga kini, sebanyak 27,000 unit berjaya dijual dengan majoritinya di pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Jepun. 

Di Asia Tenggara, Nissan LEAF terlebih dulu sampai di Singapura pada Disember 2011. Sebanyak 25 unit Nissan LEAF digunakan dalam program ujian selama tiga tahun bagi mengetahui kesesuaian penggunaan EV itu di republik terbabit. 

Malaysia nampaknya tidak mahu ketinggalan dalam mempromosikan penggunaan kenderaan berteknologi hijau. Bukti paling jelas dapat dilihat melalui inisiatif yang digariskan dalam Polisi Teknologi Hijau Kebangsaan. 

Diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai 2009, ia bermatlamat memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, selain mengurangkan emisi CO2 yang menyumbang kepada pemanasan global. 

Inisiatif itu disokong oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) yang baru-baru melancarkan Program Perintis Nissan LEAF. Ia merupakan program pertama seumpamanya di Malaysia dan dikenali sebagai Journey to Zero Emission. 

Dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed Journey to Zero Emission menjadi medan buat ETCM meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai EV ciptaan Nissan di samping melaksanakan kajian kebolehlaksaan EV di jalan raya Malaysia. -sumber




Leave a Reply

Labels