Saturday, 30 June 2012
Ekor Sembilang Penawar Bisa
USIANYA yang sudah melepasi setengah abad tidak menggambarkan Yusof Abdul
Raof patah semangat dalam aktiviti hariannya sebagai seorang pengusaha
makanan di sebuah gerai di Petaling Jaya, Selangor. Apa yang tersirat dalam
hatinya, manusia ini seharusnya terus berusaha dalam apa jua bidang yang
diceburi termasuk pelbagai kegiatan di masa lapang.
Yusof, 58, atau lebih
dikenali dengan panggilan Raja Sembilang sentiasa bersyukur atas kebolehan
luar biasanya sebagai seorang pemancing yang tidak pernah pulang dengan
tangan kosong. Kegemaran memancing yang sudah tertanam di jiwanya sejak
berusia 10 tahun itu membolehkan Yusof mendapat gelaran Raja Sembilang
kerana beliau memang penganyir dan pakar memancing ikan berkenaan. Tanpa
mahu merahsiakan kepakaran luar biasa itu, Yusof secara spontan berkata,
apa bidang sekalipun seseorang itu mestilah berilmu selain daripada
kemahiran semula jadi.
"Saya mengaku, mempelajari segala petua dan
cara-cara memancing sembilang ini daripada seorang tua di kampung saya,
tetapi sekadar kegunaan sendiri aja..." senyumnya menampakkan keikhlasan.
Bagaimanapun beliau terpaksa berpegang kepada segala janjinya iaitu tidak
boleh makan ikan berkenaan tetapi sekadar memancingnya saja dan jika hasil
tangkapan itu lumayan hendaklah dibahagi-bahagikan kepada mereka yang
memerlukannya. Jika beliau melanggar pantang larang ini, ini bermakna
tangkapan spesies berkenaan tidaklah sebanyak mana kebiasaan yang
diperolehi tetapi sekadar untuk sekeluarga saja.
Yusof tidak menyimpan
rahsia cara mengenali lubuk sembilang. Pemancing tambahnya, perlu
memerhatikan buih-buih yang mungkin dapat dilihat pada permukaan air ketika
air besar. Jika buih-buih kelihatan sudah pasti kawasan itu mengandungi
banyak sembilang dan tidak akan menghampakan selain ikan ini mudah di kail
ketika air mula pasang dan pada waktu surut.
Pemancng juga mudah
menghasilkan tangkapan ikan ini jika air teres iaitu ketika air surut mirip
kepada lopak-lopak air kawasan menghampiri persisiran pantai. Yusof
menunjukkan jari dan sebahagian daripada lengannya sambil tersenyum
berkata: "Lihat tangan dan jari ini sudah lali dan kebas kerana bisa ikan
sembilang.
"Pemancing tentu lebih maklum, sengat sembilang bisanya bukan
kepalang menjalar hingga ke jantung dan jika rawatan segera tidak diberi
pemancing pasti pengsan malah lebam seluruh badan. "Tangan saya ni" sambil
menunjukkan berulang kali "tebal kulitnya, bahagian jari ni sudah kematu
terkena sengat. "Saya kurang pasti ada yang mengatakan bisa ikan ini akan
susut selepas tujuh kali air pasang dan surut. Tetapi bagi saya cara
menghilangkan biasanya mudah aja iaitu gigit saja ekor ikan ini
sekuat-kuatnya, hingga bisa beransur susut" wajah Yusof membayangkan
kebenarannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



































