Saturday, 30 June 2012

Homestay Sungai Haji Dorani

0 comments

Homestay Sungai Haji Dorani yang terletak di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. Warga kampung di situ pasti akan menyambut kehadiran anda dengan senyuman dan layanan mesra. 

Mengambil masa kira-kira 2 jam perjalanan dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, keletihan memandu pasti terubat selepas mata dijamu dengan kehijauan bendang sawah yang luas.

Seorang penduduk kampung itu, Mohd. Yatim Basri, 59, ialah antara yang aktif menghidupkan program inap desa yang dilaksanakan di kampung itu. Atas inisiatif sendiri, Yatim turut mendirikan dua buah rumah berfungsi sebagai calet di tengah-tengah sebuah petak sawah.

Di atas tapak berkeluasan 20x20 meter, calet yang dibina sejak lebih setahun lalu itu sengaja didirikan di atas sawah agar ia mendapat ilusi terapung’. Setiap calet pula mempunyai dua buah bilik yang dihias cara kampung. 

Apabila jendela kayu dikuak, terbentang pemandangan indah alam ciptaan Tuhan. Waktu senja adalah momen paling indah apabila penghuni calet itu berpeluang menyaksikan latar langit jingga, kawanan burung berterbangan rendah pulang ke sarang dan dendangan serangga malam yang mula berkumandang.
“Calet ini dibuat menggunakan modal saya sendiri. Ia bukan sebahagian daripada perancangan komuniti homestay tetapi pada saya, ini antara peluang bagi menarik minat orang untuk datang bertandang ke kampung kami.

“Alhamdulillah, setakat ini calet ini tidak pernah kosong untuk tempoh yang lama. Dalam sebulan, pasti ada dua atau tiga pelawat yang tidur di sini. Kebiasaannya, ia menjadi pilihan keluarga besar atau kumpulan pelancong yang kecil.

“Penuntut kolej dan universiti juga sangat tertarik dengan konsep calet ini. Pada mereka, ia satu tempat sempurna bagi menyudahkan tugasan dan mencari idea bagi bahan-bahan berkaitan,” tutur lelaki yang hayatnya mahu diabdikan di kampung itu sahaja.

Menyusuri jambatan kecil menuju ke calet itu, pandangan pasti tertambat pada bunga-bunga pelbagai warna yang mengelilingi rumah kayu tersebut. Biarpun tidak begitu besar, namun pengalaman yang ditawarkan sudah mampu menandingi kehebatan tinggal di hotel-hotel mewah.

Bagi mengisi masa lapang sepanjang berada di homestay itu, pengunjung boleh menyertai pelbagai aktiviti yang ditawarkan berdasarkan pakej yang disediakan. 

* Kadar penginapan di calet milik Mohd. Yatim: RM110 semalam
* Web: doranihomestay.blogspot.com
* Tel: 013-607 7025
* E-mel: doranihomestay@yahoo.com




Kosmo 

Leave a Reply

Labels