Monday, 11 June 2012
Kisah Saudagar Yang Jujur
Pada suatu hari, seorang saudagar perhiasan di zaman Tabiin bernama Yunus
bin Ubaid, menyuruh saudaranya menjaga kedainya kerana ia akan keluar solat.
Ketika itu datanglah seorang badwi yang hendak membeli perhiasan di kedai itu.
Maka terjadilah jual beli di antara badwi itu dan penjaga kedai yang
diamanahkan tuannya tadi.
Satu barang perhiasan permata yang hendak dibeli harganya empat ratus
dirham. Saudara kepada Yunus menunjukkan suatu barang yang sebetulnya harga dua
ratus dirham. Barang tersebut dibeli oleh badwi tadi tanpa diminta mengurangkan
harganya tadi. Di tengah jalan, dia terserempak dengan Yunus bin Ubaid. Yunus
bin Ubaid lalu bertanya kepada si badwi yang membawa barang perhiasan yang
dibeli dari kedainya tadi. Sememangnya dia mengenali barang tersebut adalah
dari kedainya. Saudagar Yunus bertanya kepada badwi itu, "Berapakah harga
barang ini kamu beli?"
Badwi itu menjawab, "Empat ratus dirham."
"Tetapi harga sebenarnya cuma dua ratus dirham sahaja. Mari ke kedai saya
supaya saya dapat kembalikan wang selebihnya kepada saudara." Kata
saudagar Yunus lagi.
"Biarlah, ia tidak perlu. Aku telah merasa senang dan beruntung dengan
harga yang empat ratus dirham itu, sebab di kampungku harga barang ini paling
murah lima ratus dirham."
Tetapi saudagar Yunus itu tidak mahu melepaskan badwi itu pergi. Didesaknya
juga agar badwi tersebut balik ke kedainya dan bila tiba dikembalikan wang baki
kepada badwi itu. Setelah badwi itu beredar, berkatalah saudagar Yunus kepada
saudaranya, "Apakah kamu tidak merasa malu dan takut kepada Allah atas
perbuatanmu menjual barang tadi dengan dua kali ganda?" Marah saudagar
Yunus lagi.
"Tetapi dia sendiri yang mahu membelinya dengan harga empat ratus
dirham." Saudaranya cuba mempertahankan bahawa dia di pihak yang benar.
Kata saudagar Yunus lagi, "Ya, tetapi di atas belakang kita terpikul
satu amanah untuk memperlakukan saudara kita seperti memperlakukan terhadap
diri kita sendiri."
Jika kisah ini dapat dijadikan tauladan bagi peniaga-peniaga kita yang
beriman, amatlah tepat. Kerana ini menunjukkan peribadi seorang peniaga yang
jujur dan amanah di jalan mencari rezeki yang halal. Jika semuanya berjalan
dengan aman dan tenteram kerana tidak ada penipuan dalam perniagaan.
Dalam hal ini Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya Allah itu
penetap harga, yang menahan, yang melepas dan memberi rezeki dan sesungguhnya
aku harap bertemu Allah di dalam keadaan tidak seorang pun dari kamu menuntut
aku lantaran menzalimi di jiwa atau di harga." (Diriwayat lima imam kecuali
imam Nasa'i)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


































