Monday, 11 June 2012
Ketabahan Ummu Syuhada’
Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti
wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi
pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair
dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin
Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik
dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian
saudaranya yang bernama Sakhr :
"Setiap mega terbit,
Dia mengingatkan aku pada
Sakhr, malang.
Aku pula masih teringatkan dia
setiap mega hilang di ufuk barat
Kalaulah tidak kerana terlalu
ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka,
Nescaya aku bunuh
diriku."
Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah
digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat
orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dan dididik berjuang dengan
berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan
dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar
jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan
tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah
dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang
tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat
senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam
kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan
tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke
medan perang,
"Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati.
Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan
selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki
dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah
memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturunan kamu,
dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang
disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu.
Ketahuilah bahawasaya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang
binasa."
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud,
"Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu,
dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi
orang yang beruntung."
Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang
disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata,
"Jika kalian bangun esok pagi, Insya Allah dalam keadaan selamat, maka
keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan
mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin
hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah
kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan
pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang
abadi, dan tempat tinggal yang kekal."
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang
masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian
berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad
bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia
sebaik sahaja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua
hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang
tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam
mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .
Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan
nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil
mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,
"Hai saudara-saudaraku!
Ibu tua kita yang banyak
pengalaman itu,
Telah memanggil kita semalam
dan membekalkan nasihat.
Semua mutiara yang keluar dari
mulutnya bernas dan berfaedah.
Insya Allah akan kita buktikan
sedikit masa lagi."
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula
oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat
yang berapi-api ia bersyair,
"Demi Allah!
Kami tidak akan melanggar
nasihat dari ibu tua kami
Nasihatnya wajib ditaati
dengan ikhlas dan rela hati
Segeralah bertempur,
Segeralah bertarung dan
menggempur mush-musuh bersama-sama
Sehingga kau lihat keluarga
Kaisar musnah."
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,
"Sungguh ibu tua kami
kuat keazamannya,
Tetap tegas tidak goncang
Beliau telah menggalakkan kita
agar bertindak cekap dan berakal cemerlang
Itulah nasihat seorang ibu tua
yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri
Mari! Segera memasuki medan
tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri
Dapatkan kemenangan yang bakal
membawa kegembiraan di dalam hati
Atau tempuhlah kematian yang
bakal mewarisi kehidupan yang abadi."
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya.
Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,
"Bukanlah aku putera
Khansa',
Bukanlah aku anak jantan
Dan bukanlah pula kerana 'Amru
yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang
berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahaya,
Dan musnah mangsa oleh
senjataku."
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk
mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis
belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan
kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan
hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan
lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah
mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan
menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lainnya.
Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima
perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari
lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air
sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya
sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri.
Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang
gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Qadisiyah itu berjumlah
lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat
orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang
menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui
syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak
bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,
"Segala puji bagi Allah,
yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka,
Dan aku mengharapkan dari
Tuhanku,
Agar Dia mengumpulkan aku
dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"
Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup
dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Qadisiyah. Dari
peristiwa peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan
'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


































