Dos yang paling minima adalah 50 mg sehari diambil selama lima hari berturut-turut iaitu pada hari ke 2 atau 3 sehingga hari ke 6 atau 7 kitaran haid anda. Walau bagaimanapun doktor anda mungkin mempunyai protokol yang berbeza untuk anda kerana reaksi pesakit terhadap Clomid berbeza di antara seorang dengan yang lain.
Jika 50 mg tidak efektif, doktor anda mungkin akan meningkatkan dos clomid pada kitaran haid seterusnya, sehingga dos maksima iaitu 200 mg sehari sekiranya anda masih tidak responsif.
Kesan-kesan sampingan dengan pengambilan Clomid kebanyakan agak ringan iaitu kepanasan, perubahan emosi dan rasa loya. Ia akan hilang dengan segera sebaik sahaja dihentikan pengambilannya. Begitu juga dengan risiko untuk mendapatkan anak kembar tidaklah tinggi iaitu kurang dari 10%.
Terdapat kesan sampingan yang kurang baik iaitu clomid boleh mengurangkan kualiti mukus serviks. Keadaan ini menjadikan ia lebih pekat dan boleh menyukarkan laluan kepada sperma untuk memasuki rahim. Terdapat juga kes di mana ia juga boleh menyebabkan lapisan rahim nipis dan kurang sesuai untuk implantasi. Walau bagaimanapun ia cuma terjadi pada sesetengah wanita sahaja.
Hasil kajian menunjukkan Clomid telah merangsang ovulasi sebanyak 80% daripada pesakit dan dianggarkan 40% daripada wanita yang menggunakan Clomid akan hamil dalam tempoh enam kitaran haid.
Penggunaan Clomid untuk lebih daripada enam kitaran adalah tidak digalakkan. Ini kerana kadar kehamilan yang menurun secara mendadak selepas 4 kitaran.


































