Tuesday, 24 July 2012
Artikel Pilihan: HADIS PALSU BULAN REJAB, SYAABAN (Bahagian 1)
Mohd Asri b. Zainul
Abidin
(moasriza@yahoo.com)
Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara
rekaan manusia dan perintah Allah dan RasulNya. Jika agama boleh direkacipta,
maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh
itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.
Kita melihat di akhir-akhir ini perkembangan yang lebih mendukacitakan, yang
mana adanya individu-individu tertentu yang tidak mempunyai latar belakang
pengajian Islam atau sekadar sebulan dua di pusat pengajian tertentu
kemudiannya muncul di tengah masyarakat dengan membawa huraian-huraian yang
salah tentang Islam di sana-sini.
Fenomena ini mendukacitakan kita, akhirnya manusia mengambil agama daripada
golongan jahil lalu mereka diselewengkan.
Bahkan bukan sahaja golongan yang tidak pernah mengikut pengajian Islam
membuat kesalahan dalam memetik dan menghuraikan hadith bahkan ada di kalangan
yang menggunakan lebel nama sebagai ustaz juga sering membuat kesalahan dalam
persoalan memetik dan menghuraikan hadith-hadith Nabi s.a.w.
Sebenarnya gelaran
ustaz bukan bererti seseorang itu tahu segalanya dalam ilmu-ilmu Islam.
Sebaliknya ada golongan yang digelar ustaz hanya kerana sepatah dua kalimat
yang dihafalnya.
Berbalik kepada persoalan hadith, ramai di kalangan kita yang begitu tidak
berdisplin dalam memetik hadith-hadith Nabi s.a.w., begitu juga dalam
menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan
iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadith. Apa sahaja yang dikatakan
hadith terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan
tahqiq (keputusan) para ulama hadith terhadap kedudukannya.
Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadith maka pastinya
sahih dan wajib diimani. Dengan itu apa sahaja yang mereka jumpai daripada buku
bacaan, yang dikatakan hadith maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w.
tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh
baginda Nabi s.a.w. dalam hadith yang mutawatir:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti
berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang
berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka). Hadith ini adalah mutawatir
(lihat: Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s. 239, cetakan: Dar al-Fikr
al-Mu`asarah, Beirut).
Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat
berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. ialah
menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w
secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya. Ini seperti
menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau
berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya. Maka
sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. samada perkataan, atau perbuatan atau
pengakuan, maka ianya disebut sebagai al-hadith. Namun menyandar sesuatu kepada
Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadith pada hakikatnya, cuma ianya disebut
hadith berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan
al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadith palsu ialah:
“Hadith yang disandarkan kepada Nabi s.a.w secara dusta, ianya tidak ada
hubungan dengan Nabi
s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi `Ulum al-Hadith, m.s.301,
cetakan: Dar al-Fikr al-Mu`asarah, Beirut).
Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah
sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan passport di atas
nama sesebuah kerajaan. Ianya sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah
terhadap kerajaan tersebut. Kedudukan Nabi s.a.w tentunya lebih besar dan agung
untuk dubandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut:
“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk
neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas
hadith ini:
“Ianya merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis
pendustaan ke atas baginda. Maksudnya: Jangan kamu sandarkan pendustaan ke
atasku (menggunakan
namaku)." (rujukan: Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270,
cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).
Bersambung..............
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


































