Wednesday, 29 May 2013
Senaman Otot Lantai Pelvik
Manfaat Senaman Otot Lantai Pelvik
Melakukan senaman otot lantai pelvik secara tetap atau berterusan adalah penting bagi wanita pelbagai usia. Kelemahan otot ini adalah disebabkan oleh pelbagai faktor seperti melahirkan anak, mengangkat objek berat, gangguan hormon, umur individu ataupun masalah berat badan. Senaman ini secara langsung menguatkan kembali otot lantai pelvik anda.
Wanita dengan masalah inkontinen jenis stres, iaitu yang selalunya mengalami kebocoran ketika bersin, batuk atau bersenam akan mendapat faedah dengan mengamalkan senaman ini di mana ia akan menguatkan otot-otot yang terlibat dalam masalah lemah kawalan kencing.
Bagi anda yang sedang hamil, senaman ini dapat membantu anda menampung berat kandungan yang semakin meningkat. Jika otot lantai pelvik anda dalam keadaan sihat dan baik sebelum melahirkan anak, terdapat kemungkinan yang otot tersebut akan kembali ke keadaan normal selepas melahirkan anak.
Ibu-ibu juga akan mendapat manfaat daripada senaman ini. Bukan sahaja untuk memulihkan kembali keadaan tubuh badan selepas melahirkan anak, tetapi juga untuk menguatkan otot-otot supaya dapat meminimumkan tekanan beban apabila mengangkat anak anda.
Apabila seseorang wanita itu meningkat usia, adalah mustahak untuk memastikan otot lantai pelvik mereka kuat kerana ketika menopaus (putus haid), otot akan berubah dan mungkin menjadi lemah. Rutin senaman otot lantai pelvik membantu mengurangkan kesan menopaus pada pelvik dan pundi kencing anda.
Untuk mendapatkan manfaat maksimum daripada senaman otot lantai pelvik ini, adalah digalakkan juga anda melakukan senaman-senaman rutin yang lain (seperti berjalan atau berenang), menggunakan otot tersebut ketika mengangkat beban atau bersin dan juga melakukan senaman anda di dalam pelbagai keadaan (duduk di kerusi atau berdiri). Sila mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar kesihatan anda sebelum memulakan senaman otot lantai pelvik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

.jpg)

































