Tuesday, 28 May 2013

Tampil Bergaya Dengan Oren

0 comments



Bergaya Berani Dengan Warna Oren

Sebelum tercetusnya revolusi blok warna, ungkapan “tidak sama sekali” bagi pemilihan rona oren dalam diari gaya sering saja kita dengar. Warnanya yang terlampau menyala menggusarkan sesetengah individu. Bukan apa, takut tersalah bergaya. Mujur, dengan peralihan fesyen semasa warna oren bagai tiada masalah lagi buat sesiapa jua asal saja berani mencuba.

Memang oren punya tarikan kuasanya tersendiri. Begitu pun, kamu perlu memastikan bagaimana mahu bermain dengan warna ini sebelum berani mengorak langkah dengan selitan unsur neon yang memancar-mancar pada tubuh. Jadi, mahu tahu lima tip penggayaan rona oren agar tampak lebih hebat dan segar? Ayuh terus menyelongkar rahsianya di bawah ini.

1. Gandingan magis bersama putih
Putih dan oren ialah gandingan warna yang sangat kena. untuk kombo warna ini, tambahkannya dengan warna biru. Semestinya biru navy! Kamu akan kelihatan cukup segar dan menarik yang pasti sahaja mampu mengundang jelingan si gadis mahupun jejaka.

2. Satukan dengan kuning
Hangatkan lagi penampilan musim panasmu sepertimana gabungan hebat tangerine dan lemon. Inilah warna kombo yang kena untuk apa jua tujuan jadual kamu, baik ke pantai, pasar raya, menonton wayang atau makan malam. Antara idea yang menarik ialah jean dengan kemeja-T oren dan aksesori berona lemon. Atau gaun tangerin bersama beg kuning, gaun putih dengan wedges oren jua beg lemon. Juga menarik sekiranya kamu mengenakan blazer oren bersama skarf kuning dan jean capris.

3. Gayakan gaun sarung
Oren bertona cerah atau oren menyala-nyala membantu kamu untuk kelihatan cukup menyerlah di tengah-tengah orang ramai. Ayuh dapatkan gaun sarung berona sebegini. Penggayaan bersama sandal warna nude bertali sambil menggalas beg rona coklat atau gangsa akan menampakkan kamu cukup bomb! Ini adalah tip pemakaian warna oren yang tidak boleh kamu abaikan.

4. Mulakan dengan yang ringkas
Andai kamu sedang dalam cubaan bermain dengan warna oren tetapi tidak tahu bagaimana mahu memulakannya, cara mudah ialah memulakan dengan sesuatu yang ringkas sahaja! Apabila sudah yakin, kamu boleh menambahkan lagi elemen oren itu sedikit demi sedikit. Sebagai permulaan, pilihlah rona oren pada flat, baji, gelang, subang, topi, skarf mahupun beg kamu.

Sekiranya kamu masih juga ragu-ragu untuk menggayakan warna menyala ini, apa kata dapatkan pasu ataupun bingkai gambar berwarna oren dan letakkan di sudut-sudut rumahmu. Kamu pastinya berasa seronok melihatnya dan menaikkan mood kamu terhadap kumpulan warna ini. Jadi dari situ mungkin kamu akan memperoleh keyakinan dan motivasi luar biasa untuk mengenakan warna oren saat berfesyen. Cubalah!

5. Elakkan serba oren
Ini memang memalukan. Jangan sesekali berkeinginan untuk mengenakan segalanya satu warna dalam penampilan kamu, lebih-lebih lagi warna oren. Perlu diingat, gaun oren adalah satu item dan sekiranya kamu memakai dua item bersama, kamu memang perlu menyuai padankan warnanya. Jangan takut untuk mencuba sesuatu yang lain.


Majalah Remaja Isu 1 Jun 2012





Leave a Reply

Labels