Saturday 24 September 2011

Mentua dan Menantu Tinggal Sebumbung

0 comments



Perkahwinan merupakan ikatan suci yang dibina atas dasar cinta dan kasih sayang antara lelaki dan wanita. Hubungan yang diberi nama 'perkahwinan' ini bukan sahaja untuk diri sendiri dan pasangam, malah turut meliputi hubungan antara kedua-dua belah keluarga. Oleh yang demikian, perkahwinan yang dibina bukan sahaja antara suami dan isteri tetapi keseluruhan keluarganya termasuklah ibu bapanya. Hal ini sangat berkait rapat dengan kehidupan anda dan yang pastinya bagi anda yang bakal mendirikan rumahtangga tidak lama lagi.

Kebiasaannya, setelah mendirikan rumah tangga, pasangan suami dan isteri akan memilih untuk tinggal di rumah sendiri. Atas sebab-sebab tertentu, ada juga pasangan yang memilih untuk tinggal di rumah mentua. Namun, timbul satu persepsi iaitu jikalau pasangan suami ataupun isteri duduk serumah dengan mentua, pastinya akan wujud satu masalah yang sukar diselesaikan. Masalah tersebut pastinya berkait rapat dengan perasaan, hati, dan jiwa. Bak kata pepatah, ‘dekat bau tahi, jauh bau bunga’. Mungkin itulah yang akan terjadi apabila pasangan yang sudah berkahwin duduk serumah dengan mentua. Hal ini mungkin berlaku pada sesetengah pasangan sahaja dan bukan keseluruhannya. Tatkala menjalani hidup sebagai suami isteri di rumah mentua, pasti ada baik dan buruknya. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan antara mentua dan menantu. Jika anda bijak mengawal keadaan, pastinya tidak akan berlaku masalah walaupun duduk serumah dengan mentua.


Masalah yang sering dihadapi
 
Apabila duduk serumah, pelbagai keburukan akan dilihat oleh menantu atau mentua. Ada sahaja perkara yang tidak berkenan di hati. Sebagai contoh, rumah tidak berkemas, menantu tidak pandai memasak, dan lain-lain lagi. Bagi menantu, hati pastinya terasa sakit apabila mentua tidak sudah-sudah memuji menantu-menantu yang lain. Hal ini perlu dielakkan kerana boleh mengeruhkan lagi hubungan antara menantu dan mentua. Namun, perkara yang ditakuti sekali ialah keretakan hubungan suami dan isteri akibat perkara yang remeh-temeh ini. Oleh yang demikian, setelah berumah-tangga, seboleh-bolehnya berbincanglah dengan pasangan sama ada hendak tinggal di rumah sendiri atau pun tinggal di rumah mentua. Jika hendak tinggal berasingan, lakukanlah sesuatu agar hubungan anda dengan mentua bertambah erat.




Leave a Reply

Labels