Thursday 26 April 2012

'Saya tidak akan lepas jawatan'

0 comments


KUALA TERENGGANU - "Saya tidak akan melepaskan jawatan semata-mata desakan mereka (penyokong) setiap kali pasukan tewas.

''Ini pengalaman paling buruk sejak bergelar jurulatih dan saya anggap ia satu cabaran untuk saya mengemudi pasukan ini," tegas jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, semalam.

Mat Zan juga hairan dengan sikap segelintir mereka yang dikatakan penyokong tetapi bersikap seakan mahu membunuh masa depan bola sepak negeri ini.

Katanya, situasi itu berlaku ketika Terengganu masih berada dalam senarai di hadapan dan dalam posisi terbaik persaingan untuk memburu kejuaraan.

''Tidak pernah berlaku juga pada pasukan-pasukan di tangga bawah berbuat seperti itu.

"Saya rasa tindakan mereka ini bukan sahaja menjatuhkan moral pemain, malah moral saya juga turut terjejas kerana hari-hari ada sahaja cerita negatif mengenai pasukan dan pengurusan ditimbulkan,'' tegas jurulatih yang pernah membantu Terengganu menjuarai Piala Malaysia pada tahun 2001.

Terengganu tewas 1-2 kepada Sime Darby dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di gelanggang sendiri, Sabtu lalu.

Kekalahan itu mengundang beberapa penyokong hilang sabar dan terus melaungkan agar Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan Mat Zan meletakkan jawatan.

Mereka turut berarak dan membuat kecoh di hadapan rumah Che Mat sebelum disuraikan penduduk kampung serta pihak polis.

Pada 10 April lalu, mereka turut mengadakan demonstrasi di luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah setelah Terengganu tunduk 0-2 kepada Tampines Rovers dalam Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC).

Dalam pada itu, jurulatih berusia 54 itu menegaskan, beliau akan terus memikul tanggungjawab itu (jurulatih) selagi pihak pengurusan mahukan khidmatnya dan tidak akan sesekali menoleh kebelakang mahu pun ada yang ingin melihatnya meletakkan jawatan.

"Sebagai jurulatih, saya lagi mahu melihat pasukan saya sentiasa menang lebih daripada penyokong tetapi adakah wajar saya bertindak menjatuhkan moral pemain hanya kerana mereka kalah sedangkan kita masih berada di tangga yang terbaik dalam Liga Super dan Piala AFC.

Mat Zan turut melahirkan rasa terkilan kerana segelintir penyokong telah menghukum mereka sebelum pertarungan berakhir.

"Kita masih ada 90 minit lagi untuk pertemuan kedua nanti dengan Sime Darby tetapi mengapa sudah menjangkakan kegagalan kita? Ini tidak adil buat pasukan ini yang bertungkus-lumus bermain setiap kali perlawanan," tegasnya.

Katanya, Terengganu juga masih mempunyai harapan dalam saingan Piala AFC apabila berdepan kelab Vietnam, Rabu ini.

Ketika ditanya mengenai hasrat segelintir penyokong yang mahu memboikot untuk turun menyaksikan pertemuan itu, Mat Zan berkata, beliau tidak mahu memikirkannya.-utusan





Leave a Reply

Labels