Wednesday, 25 July 2012
Artikel Pilihan: HADIS PALSU BULAN REJAB, SYAABAN (Bahagian 2)
Mohd Asri b. Zainul
Abidin
(moasriza@yahoo.com)
Bukan sahaja membuat hadith palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang
kepada orang yang mendengar bahawa ianya adalah hadith palsu juga adalah
sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H):
“Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu
meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan
menerangkan kepalsuannya”. (Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s.98)
Misalnya di tanahair kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan
Sya`aban maka hadith-hadith palsu mengenai mengenai bulan-bulan tersebut akan
dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadith:
“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah
hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar
al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, cetakan: Maktab
al-Matbu`at
al-Islamiyyah, Halab, Syria)
Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau
meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga
dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat
pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd
al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).
Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa
golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan
diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadith palsu
dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima
pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.
Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini dan
menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99)
Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi agen
menyebarkan hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan
disunatkan pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah
(wafat 751H):Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan
Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu
juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam
tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai
solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini
direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar
al-Munif, m.s. 95-98).
Bersambung.............
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


































