Thursday, 26 July 2012
HARI TUA YANG GEMILANG (Bahagian 1)
Oleh
Azrina bt. Sobian
Pegawai Penyelidik
(IKIM)
Kata orang, ‘tua' merupakan sejenis penyakit yang tidak dapat dielakkan
oleh sesiapapun. Ia mungkin dapat dilambatkan, misalnya dengan menggunakan
ubatan tertentu agar wajah dan tubuh kekal cantik dan sihat. Malahan, kita juga digalakkan berdoa ke
hadrat Ilahi agar dipanjangkan usia.
Walau apapun, usia tua pasti akan datang jua. Dalam proses penuaan yang semulajadi ini,
sedikit demi sedikit wajah dan tubuh badan menunjukkan tanda-tanda penuaan
tersebut. Kedut di tepi mata, kulit yang
menggeleber di sana-sini, sendi yang sakit-sakit, badan berasa lenguh dan nafas
yang mudah semput merupakan tanda-tanda penuaan yang alami. Dalam masa yang sama, cara berfikir seseorang
juga boleh dan akan berubah dalam meniti usia yang semakin meningkat.
Walau apapun, manusia secara semulajadinya tidak begitu risau dengan
perubahan corak berfikir apabila usia meningkat. Apa yang selalunya paling ditakutkan oleh
manusia adalah perubahan fizikal yang berlaku apabila semakin tua. Dalam masa yang sama, keberkesanan
organ-organ dalaman badan untuk berfungsi dengan penuh effisyen juga akan
menurun dengan peningkatan usia. Oleh
itu, kita dapat lihat bagaimana manusia cuba mengekalkan ciri-ciri usia
mudanya. Misalnya, nenek-moyang kita
menggalakkan pemakanan ulam-ulaman agar nampak awet muda. Zaman moden pula
memperlihatkan penggunaan ubatan dan alat kosmetik untuk kembali kelihatan
muda. Lebih canggih lagi apabila ada
yang sanggup melalui kesakitan semata-mata ingin tampak muda.
Penjelasan di atas menyebabkan penulis tertanya-tanya ‘adakah menjadi tua itu
begitu buruk sekali?' Atau adakah ia
hanya ilusi semata-mata? Jika benar
menjadi tua itu begitu menyusahkan dan menyedihkan, kenapakah pula sebahagian
besar dari pemimpin negara, malahan pemimpin dunia sekalipun terdiri dari
mereka yang tua-tua belaka. Walaupun tua, mereka masih gagah malah berjaya
membawa negara ke mercu kejayaan. Jadi,
adakah benar menjadi tua itu begitu membebankan dan tidak akan membawa apa-apa
kebaikan atau faedah kepada diri sendiri atau masyarakat di sekeliling kita?
Di Malaysia, orang tua mempunyai gelaran-gelaran yang lain seperti warga
emas, golongan veteran atau golongan senior. Takrifan ‘warga emas' adalah
mereka yang berusia 60 tahun ke atas.
Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat
sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat
sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan
yang salah. Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai
aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.
Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan
diadakan. Ia merupakan satu pengiktirafan kepada golongan tersebut agar mereka
tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan
golongan muda haruslah menghargai jasa mereka selama ini. Agama Islam sendiri
mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik
golongan tua. Kita perlu sentiasa
beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu
agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.
Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini? Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan
oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara. Golongan ini boleh
terus melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang
idea yang bernas berdasarkan pengalaman yang telah dilalui. Samuel
Ullman memberikan satu pesan bestari :
“Nobody grows old merely by
living a number of years. We grow old by
deserting our ideals. Years may wrinkle the skin, but to give up enthusiasm
wrinkles the soul”.
Apa yang dapat difahami
dari kata-kata ini adalah bahawa jumlah angka pada usia kita tidak
penting. Apa yang utama adalah semangat
untuk hidup dan memberikan sumbangan yang berguna kepada manusia disekeliling
kita.
Bersambung……..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


































